KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mencadangkan beberapa garis panduan dalam aspek penggunaan sumber kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos ini.
Antara lain, ia bertujuan mengelak sumber kerajaan disalah guna dan memberi kelebihan kepada Kerajaan Persekutuan berbanding lawan.
Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, berkata walaupun Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu kini dalam pentadbiran kerajaan sementara dan tidak boleh menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen atau mengumumkan peruntukan, ia tidak menghalang Kerajaan Persekutuan daripada melakukannya bagi meraih sokongan pengundi.
Katanya, BERSIH mencadangkan sebarang pengumuman termasuk peruntukan kepada pengundi tidak disyaratkan hanya jika calon atau parti itu menang, sebaliknya perlu dipenuhi tanpa mengambil kira keputusan pilihan raya.
“Selain itu, tidak wajar berkempen ketika majlis kerajaan dengan nama parti atau calon disebut serta simbol parti atau bendera dipasang di majlis, selain tiada peruntukan diumumkan secara khusus di kawasan terbabit untuk membantu parti tertentu menang.
“Calon juga tidak sewajarnya hadir dalam majlis kerajaan yang mana pengumuman atau peruntukan dibuat, melainkan mereka adalah menteri Persekutuan.
“Walaupun Kerajaan Persekutuan berfungsi ketika PRN, semua parti perlu bertanding dengan adil supaya pengundi tidak dipengaruhi secara tidak adil dan melampau oleh parti politik yang mempunyai akses kepada sumber serta jentera kerajaan,” katanya pada sidang media secara maya di sini, hari ini.
Thomas berkata, ketika ini, tiada panduan atau undang-undang bagi mengawal selia aktiviti kerajaan yang tidak berada dalam mod sementara.
Sehubungan itu, katanya, BERSIH menggesa semua parti politik dan kepemimpinannya mengangkat semangat pilihan raya bersih dan adil tanpa menyalahgunakan sumber dan jentera kerajaan untuk mendapatkan kelebihan politik.
“Pengundi memerhati dan pemantau pilihan raya yang digerakkan BERSIH akan merekodkan kesalahan pilihan raya dilakukan calon atau parti politik,” katanya.
Mengenai kemungkinan cadangan BERSIH itu tidak dihiraukan berikutan penggunaan sumber dan jentera kerajaan dikatakan biasa berlaku setiap kali pilihan raya, Thomas berkata, cadangan pihaknya mengenai kerajaan sementara diberi perhatian dan menerima maklum balas daripada kerajaan.
Sehubungan itu, mereka berharap kerajaan negeri akan meneliti dan mengeluarkan garis panduan mengenainya.
“Kami tidak melihat perlu ada undang-undang khusus membabitkan perkara ini, namun apabila parti melihat ada garis panduan, mereka bersedia dan menghormatinya ke arah pilihan raya yang lebih adil,” katanya.
(Pertama kali disiarkan oleh Berita Harian pada 20 Julai 2023: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1128961/bersih-cadang-garis-panduan-guna-sumber-kerajaan-untuk-kempen-prn)