Tanpa Syarat, Tanpa Kempen, Tanpa Calon: Panduan Mencegah Salah Guna Kelebihan Penyandang Untuk Kempen Pilihan Raya

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyedari peranan yang dimainkan oleh kepimpinan politik yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dalam menuju 6 PRN yang akan datang.

Sementara ianya jelas bahawa kerajaan negeri sedang berada dalam mod sementara dan tidak boleh menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen atau membuat apa-apa pengumuman peruntukan, namun perlakuan kerajaan persekutuan yang bukan dalam mode kerajaan sementara adalah tidak jelas.

Walaupun tidak ada undang-undang yang melarang kerajaan persekutuan daripada berfungsi semasa pilihan raya negeri (dan sebaliknya), semua parti perlu bertanding dengan adil agar pengundi tidak dipengaruhi secara tidak adil dan melampau oleh parti politik yang mempunyai akses kepada sumber dan jentera kerajaan.

BERSIH mengajukan beberapa garis panduan untuk situasi di mana pilihan raya peringkat negeri dan persekutuan tidak dijalankan bersama, bagi memastikan sumber-sumber kerajaan di peringkat yang berbeza tidak disalahgunakan untuk mendapatkan kelebihan berbanding calon lawan mereka:

TANPA SYARAT: Sebarang pengumuman peruntukan atau pengumuman yang dibuat kepada pengundi tidak boleh bersyarat hanya jika calon atau parti tersebut menang dalam pilihan raya. Sebarang komitmen kerajaan persekutuan perlu dipenuhi tanpa mengira keputusan pilihan raya.

TANPA KEMPEN semasa majlis kerajaan yang merujuk kepada pilihan raya mendatang, dengan nama parti atau calon disebut-sebut serta simbol parti atau bendera dipasang dalam majlis. Tiada peruntukan boleh dibuat secara khusus di kawasan tersebut untuk membantu parti tertentu memenangi atau mempertahankan kawasan tersebut.

TANPA CALON: Calon tidak boleh hadir dalam majlis kerajaan di mana pengumuman atau peruntukan dibuat, melainkan mereka juga adalah menteri persekutuan.

 

Prinsip di atas yang diusulkan oleh BERSIH dalam situasi di mana tidak ada panduan atau undang-undang untuk mengawalselia aktiviti kerajaan yang tidak berada dalam mod sementara.

Prinsip di atas (No CONDITION, No CAMPAIGN, No CANDIDATE) ini juga sudah tentunya perlu terpakai kepada tatalaku kerajaan negeri semasa pilihan raya persekutuan.

BERSIH menggesa semua parti politik dan kepimpinannya mengangkat semangat pilihan raya bersih dan adil, dengan tidak menyalahgunakan sumber dan jentera kerajaan untuk mendapatkan kelebihan politik. Pengundi sedang memerhati, dan pemantau pilihan raya yang digerakkan oleh Bersih akan mendokumenkan kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh calon atau parti politik.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH