Kerajaan Madani Digesa Patuhi Larangan 3C Agar Tidak Salah Guna Kuasa

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri (PM) Anwar Ibrahim untuk mematuhi larangan 3C: “No Conditions” (tidak bersyarat), “No Campaign” (tidak berkempen) dan “No Candidates” (tidak bawa calon) supaya tidak menyalahgunakan kuasa dan membelakangi amanah dalam sebarang pengumuman dasar dan peruntukan oleh semua Kementerian dan agensi Persekutuan dalam tempoh enam Pilihan Raya Negeri (6PRN) ini.

BERSIH merujuk kepada pengumuman daripada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi merangkap Menteri  Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada  Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk menambah geran kepada persatuan tersebut sebanyak RM100,000. Selain itu, beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri tersebut. Jumlah peruntukan yang diumumkan semasa program Sentuhan Kasih Desa itu berjumlah lebih setengah juta ringgit.

Zahid Hamidi dalam ucapannya secara jelas mengenakan syarat apabila menambah bahawa jumlah peruntukan ini akan dinaikkan sekiranya parti beliau menang dalam PRN ini dan berkempen di hadapan para belia yang hadir untuk memenangkan arus merah biru yang merujuk kepada gabungan parti kerajaan dalam pilihan raya kali ini .

Peruntukan yang khas kepada tiga badan sosial di Terengganu, dan bukan untuk semua badan yang sejenis seluruh negara telah melanggar prinsip “tidak berkempen” (no campaign) manakala kenyataan Zahid yang mengaitkan jumlah peruntukan kepada kemenangan PRN terang-terang melanggar prinsip “tidak bersyarat” (no conditions). Ini berlainan dengan pengumuman oleh PM Anwar kerangka ekonomi baru “Ekonomi Madani” yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia dan tidak mengaitkan sebarang peruntukan dengan sokongan politik.

BERSIH menggesa dengan tegas untuk PM Anwar Ibrahim mengawal anggota kabinet beliau dan semua ketua agensi Persekutuan untuk tidak secara semberono membuat pengumuman dasar atau peruntukan yang melanggar larangan 3C.

Tidak boleh ada pengumuman khas yang disasarkan kepada negeri-negeri yang menghadapi PRN untuk menarik sokongan. Sudah tentu tidak boleh ada sebarang calon dalam upacara pengumuman. Sebarang pengumuman sebelum ini yang bersyarat, termasuk kenyataan Zahid di Terengganu, mesti dibatalkan serta-merta.

Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani perlu ingat bahawa pelanggaran 3C ini cuma akan menjejaskan kredibiliti gagasan Madani, sehingga ia dilihat sebagai satu propaganda kepartian dan bukan idealisme untuk seluruh negara.

Sebagai penggerak pilihan raya bersih dan adil serta reformasi institusi yang tidak memihak mana-mana parti, berfikir secara mendalam dan tidak bertindak secara terburu-buru, larangan 3C itu telah dikemukakan oleh BERSIH pada 20 Julai untuk mengawal kerajaan yang tidak bersifat ‘sementara’ (non-caretaker government), iaitu Kerajaan Persekutuan dalam PRN dan Kerajaan-kerajaan Negeri semasa PRU. BERSIH bersyukur bahawa nilai keberkecualian pentadbiran (administrative neutrality) yang mengikat kerajaan sementara (caretaker government) telah diterima sebagai norma asas dalam pilihan raya.

Larangan 3C adalah untuk menutup lubang bagi kerajaan-kerajaan bukan sementara tanpa melarang mereka daripada melaksanakan amanah-amanah masing-masing. Garis panduan ini bersama-sama dengan etika kerajaan sementara harus dikanunkan sebagai Akta/Enakmen Keberkecualian Pentadbiran Dalam Pilihan raya (Administrative Neutrality in Election Act/Enactment) di kedua-dua peringkat Persekutuan dan Negeri.

BERSIH akan sentiasa bersikap adil, seimbang dan berkecuali dalam memantau tingkahlaku semua parti politik dan wakil rakyat. Sungguhpun ini akan mengundang tohmahan daripada parti-parti politik dan organ-organ propaganda mereka, BERSIH tidak akan takut kepada tohmahan dan tidak akan beranjak daripada membuat teguran membina, munasabah dan matang dengan suara yang jelas dan tegas.  

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH

 

[1] https://bersih.org/2023/07/20/tanpanduan-mencegah-salah-guna-kelebihan-penyandang-untuk-kempen-pilihan-raya/

[2] https://www.astroawani.com/videos/video-terkini-x7sio1/peruntukan-rm250000-kepada-majlis-belia-negeri-terengganu-x8mucjw