Media Bebas dan Adil Perlu Subur Di Bawah Kerajaan Madani

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) khuatir dengan keputusan kerajaan untuk menyekat akses laman sesawang UtusanTV.com melalui beberapa Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP). Laman ini adalah laman serpihan daripada seksyen gaya hidup di Utusan Malaysia. Satu portal yang lain iaitu MalaysiaNow juga telah disekat daripada 28-30 Jun. Tindakan sebegini adalah adalah serupa dengan sekatan zaman Najib Razak yang menyekat portal berita dan laman sesawang Bersih yang kritikal terhadap kerajaan beliau.

Semasa era tersebut, Pakatan Harapan (PH) telah dinafikan akses kepada platform media kerajaan dan sebarang laporan terhadap mereka oleh media-media ini adalah serong dan buruk. Manifesto PH semasa PRU14 dan PRU15 menjanjikan kebebasan media dan menghapuskan peruntukan drakonian dalam Akta yang boleh disalahguna untuk menghalang kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Percetakan dan Penerbitan 1984.

BERSIH menggesa kerajaan PM Anwar Ibrahim untuk menunaikan ikrar beliau, sebagaimana yang tertulis dalam manifesto gabungam beliau untuk mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media. Laman UtusanTV.com perlu dinyahsekat dengan segera.

Sekiranya ada sebarang isu terhadap kandungan daripada sesebuah organisasi media, satu proses yang telus perlu ada melalui surat tunjuk sebab dan peluang memohon sebelum sebarang sekatan dibuat.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi perlu menganjurkan pendengaran awam bagi mendapatkan dapat untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia untuk pendemokrasian operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), salah satu daripada institusi yang lahir pada era autoritariansme.

Walaupun ada rakyat Malaysia yang menyokong tindakan sebegini kerana kontroversi isu 3R, kami ingin mengingatkan Kerajaan dan semua pihak berkepentingan bahawa ekstremisme hanya boleh dicegah melalui langkah yang sah, bersasar dan adil, serta menggalakkan perbahasan yang sihat dan konstruktif. Sekiranya tindakan keras dianggap perlu daripada perkiraan yang partisan, suara yang dibungkam ini hanya akan membesar ‘bawah tanah’, yang lebih mengancam inklusiviti dan kestabilan.

Batu penanda utama kepada demokrasi adalah akses media yang bebas dan adil kepada semua parti politik namun Malaysia malangnya tidak pernah menyaksikan media adil dalam pilihan raya kita. Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh PH berterusan menganggap media penyiaran awam milik kerajaan sebagai aset peribadi mereka dan menafikan pandangan yang kritikal daripada Pembangkang daripada disiarkan.

Beberapa hari sebelum hari pengundian untuk enam negeri PRN, kami berharap stesen media seperti Bernama dan RTM akan memberikan siaran percuma kepada semua pemimpin gabungan politik di peringkat negeri untuk mengemukakan manifesto mereka, liputan media yang saksama dan menganjurkan debat politik antara gabungan dan parti.

Pada hari dan era kebolehcapaian media sosial ini, adalah sia-sia bagi mana-mana kerajaan untuk cuba menghalang lawan mereka. Sebaliknya, Kerajaan Madani perlu memimpin jalan untuk menggalakkan wacana terbuka di media milik kerajaan agar rakyat Malaysia dapat menilai sendiri kepelbagaian pandangan dan ideologi yang saling bersaing.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH