Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sangat bimbang dengan laporan yang menyatakan pengundi tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka telah digunakan dalam enam pilihan raya negeri yang lalu. Pihak kami menggesa pihak SPR serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memberi penjelasan berkenaan isu ini.
Penyalahgunaan kad pengenalan pihak lain untuk mengundi dalam pilihan raya adalah satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 3(1)(l) dan Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya iaitu mengundi di bahagian pilihan raya yang tidak berhak untuk mengundi dan kesalahan penyamaran.
Berdasarkan laporan Pemerhati BERSIH, kami telah mendapati sebanyak tiga pengundi tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka telah digunakan untuk pengundian, yang menyebabkan nama mereka telah dipotong dalam senarai daftar pemilih. Tiga pengundi tersebut adalah di SMK Seberang Marang, Terengganu, SK Kampung Raja Uda, Selangor dan SK Taman Mahsuri, Kedah. Pihak PDRM juga telah membuat kenyataan bahawa mereka telah menerima sebanyak 94 laporan berkenaan kesalahan yang sama [1]. Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas, kami juga telah menerima tiga laporan nama pengundi telah dipotong dalam senarai daftar pemilih yang menandakan ada pihak lain yang mengundi bagi pihak mereka.
Trend ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding pilihan raya-pilihan raya sebelum ini seperti PRU15, PRN Melaka, Sarawak dan Johor.
Maka SPR perlu segera melakukan siasatan dalam di pusat-pusat pengundian yang dilaporkan terjadinya kesalahan ini terhadap petugas-petugas pilihan raya terutamanya Kerani Pengundian (KP) 1 dan 2 yang bertanggungjawab untuk mengesahkan identiti setiap pemilih yang datang mengundi melalui semakan senarai daftar pemilih dan membuat pengecaman wajah di kad pengenalan pengundi. Siasatan perlu dijalankan sama ada KP1 dan 2 ini telah melakukan tugas mereka berdasarkan akta dan peraturan yang ditetapkan.
Pihak JPN yang berada di bawah KDN juga perlu melakukan siasatan yang telus dan menjelaskan isu ini kepada umum. Penyalahgunaan kad pengenalan dan penyamaran untuk mengundi dalam pilihan raya adalah kesalahan yang berat kerana hal ini telah menyebabkan pengundi sebenar dinafikan hak mereka untuk mengundi, sekaligus menjejaskan integriti daftar pemilih dan penjalanan pilihan raya itu sendiri.
BERSIH juga menggesa agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang rentas parti untuk menyiasat perkara ini dan melakukan siasatan di peringkat Parlimen, termasuk mendapatkan laporan-laporan penjalanan pilihan raya oleh SPR seperti butiran perbelanjaan, isu-isu pilihan raya dan isu daftar pemilih.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH