Kerajaan Persekutuan dan Negeri Perlu Kanunkan Peruntukan Pembangunan Kawasan Sama Rata Kepada Semua Wakil Rakyat

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengucapkan tahniah kepada kematangan politik Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar YB Dato’ Mohd Nassuruddin Daud yang mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan memberikan peruntukan pembangunan kawasan yang sama rata kepada semua ADUN Kelantan termasuk dua ADUN Pembangkang  daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pemberian peruntukan pembangunan kawasan (CDF) yang sama rata tanpa melihat kepada keberpihakan politik seperti yang telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan YB Dato’ Saarani Mohamad sejak 2020 dan kini diikuti oleh Kerajaan Negeri Kelantan perlu diteladani dan diikuti oleh negeri-negeri lain. Kematangan politik seperti yang dilakukan di Perak dan Kelantan adalah jalan ke hadapan untuk negara bergerak ke arah politik yang lebih profesional dan tidak menghukum hanya kerana berbeza ideologi politik.

Kerajaan Negeri Kelantan dan Perak diharap akan berlumba-lumba mencipta sejarah sebagai negeri yang pertama menggubal satu enakmen peruntukan pembangunan kawasan yang sama rata kepada semua ADUN.

BERSIH turut menggesa agar Kerajaan Persekutuan serta semua 9 Negeri dan Wilayah Sabah dan Sarawak untuk segera mengkanunkan dan memberikan peruntukan CDF yang sama rata kepada semua ADUN-ADUN mereka tanpa mengira keberpihakan politik.

BERSIH ingin mengingatkan PH dan BN, blok terbesar dan kedua terbesar dalam Kerajaan Madani, bahawa mereka telah menjanjikan manifesto pilihan raya yang lepas pemberian CDF secara sama rata kepada semua wakil rakyat. Rakyat sudah lama menunggu janji ini dikotakan.

Tidak cukup untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persediaan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang tetapi mahukan Ketua Pembangkang Parlimen daripada gabungan Perikatan Nasional untuk datang berunding dengan Kerajaan Persekutuan.

PH dan BN bertanggungjawab bukan sahaja untuk melaksanakan manifesto ini diperingkat Persekutuan dan di semua negeri yang diperintah mereka, tetapi juga merundingkan satu pakej undang-undang CDF sama rata di Persekutuan dan di semua 13 negeri termasuk yang diperintah oleh PN, GPS, dan GRS.

Penafian CDF yang sama rata kepada kawasan yang dimenangi oleh wakil rakyat pembangkang adalah satu bentuk hukuman kepada rakyat di kawasan tersebut. Sekalipun jika peruntukan itu diturunkan pula melalui penyelaras kawasan parti pemerintah yang sering kali bakal calon, ia tetap penyalahgunaan sumber kerajaan untuk tujuan kepartian secara keji.

Bukan saja penganaktirian wakil rakyat pembangkang –  dalam kes paling ekstrim di Sarawak, ADUN kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM8 juta minimum setahun sedangkan ADUN pembangkang diberi RM 0 – tidak boleh diterima langsung, malah penganaktirian separa seperti yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor, Pahang – di mana ADUN Kerajaan diberi lebih peruntukan daripada ADUN pembangkang – juga amalan lapuk yang tidak selaris dengan nilai Madani.

BERSIH dan IDEAS telah menjalankan penyelidikan yang mendalam berkenaan pemberian CDF sama rata dan telah menyediakan satu draf generik untuk digunapakai oleh Kerajaan-kerajaan Persekutuan dan Negeri. Kami sedia membantu Kerajaan Persekutuan, Kelantan, Perak atau mana-mana kerajaan negeri lain yang berminat.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH