Pembebasan Zahid: Memisahkan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara adalah Satu-satunya Jalan Kerajaan untuk Menebus Semula Prinsip

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memandang berat tentang Pembebasan Tanpa Perlepasan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan rasuah yang melibatkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas permintaan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mukhtar.

Ini tidak boleh diterima sama sekali apabila pihak pendakwaan telahpun berjaya mewujudkan kes prima facie dan Zahid mesti mengemukakan pembelaannya. Pihak pendakwaan perlu tampil memberi penjelasan kepada orang ramai mengapa membuat permintaan untuk DNAA pada peringkat ini apabila prima facie telah kukuh.

AGC juga mesti mendedahkan kemungkinan pertuduhan baharu atau arah penyiasatan baharu. Jika tiada rancangan untuk pertuduhan baharu, maka ini mungkin memberi laluan kepada Zahid untuk memohon perlepasan dalam tempoh beberapa bulan. Justeru, Bersih menyeru pihak pendakwaan menyemak semula bukti DNAA dan kesemua 47 pertuduhan dan membuat pertuduhan semula jika perlu.

Bersih ingin mengingatkan kembali dan mengambil iktibar daripada kes bekas ketua perisikan Hasanah Ab Hamidi di mana pada Ogos 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan pembebasan dan perlepasan penuh terhadap pertuduhan pecah amanah RM50 juta, hanya setahun selepas DNAA beliau.

Memandangkan itizam anti-rasuah dan reformis Kerajaan Madani kini diragu serius berikutan keputusan ini, Bersih menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan dalam masa seminggu ini pelan hala tuju dan garis masa yang jelas untuk pemisahan Pendakwaan Awam (PP) daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mengikut kedudukan sekarang, Peguam Negara ialah seorang lantikan politik yang menasihati kerajaan yang memainkan kedua-dua peranan Pendakwa Raya yang memegang kuasa untuk memulakan atau menggugurkan tuduhan jenayah. Kuasa ini boleh disalahgunakan atau diperalatkan atas sebab politik. Pemisahan pendakwa raya dan peguam negara telah dianjurkan oleh Bersih dan kumpulan masyarakat sivil sekian lama dan kami telah mengemukakan cadangan menyeluruh tentang bagaimana ia boleh dilakukan [1]. Satu-satunya tindakan yang perlu sekarang ialah melaksanakannya.
Kami juga tertanya-tanya sama ada ini adalah ‘pendahuluan’ kepada pengguguran semua baki pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, yang rata-ratanya akan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap agenda reformasi kerajaan Madani.

Sehingga pemisahan ini dilakukan, AGC mesti mengelak daripada menarik balik pertuduhan dalam kes politik berprofil tinggi. Jika kes-kes itu lemah, biarlah hakim memutuskan perkara itu, bukan pendakwa raya yang akhirnya di bawah kawalan Perdana Menteri.

Rakyat Malaysia sudah muak melihat korelasi ini: Mereka yang kekal berkuasa selama-lamanya kekal tidak bersalah, manakala mereka yang kehilangan kuasa juga hilang rasa tidak bersalah.

Permintaan untuk DNAA oleh Timbalan Pendakwaan Awam pada peringkat perbicaraan Zahid ini sangat mengukuhkan keperluan mendesak untuk memisahkan PP dan AG – ini satu-satunya carah untuk memulihkan kredibiliti institusi PP – sememangnya seluruh kerajaan – selepas keputusan ini.

Bersih memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa sebarang penangguhan dalam reformasi institusi AGC boleh merosakkan kredibiliti kerajaan Madani, yang kini dikaitkan dengan duluan yang mengerikan ini untuk perbicaraan berkaitan politik. Cukup retorik, ahli politik mesti melaksanakan janji. Reformasilah sekarang sebelum tenggelam ke titik tiada kembali!

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih

[1] Lihat “Membaharui Pejabat Peguam Negara dan JLS di Malaysia” yang diterbitkan oleh Bersih. https://bersih.org/download/reforming-the-office-of-attorney-general-and-the-judicial-and-legal-service-in-malaysia/ Lihat juga kenyataan yang kami keluarkan sebelum PRU15 mengenai subjek yang sama : https://bersih.org/2022/09/24/separating-the-role-of-public-prosecutor-from-attorney-general-must-be-the-top-priority/