Menteri Tidak Wajar Memaksa Undi Dengan Peruntukan Projek

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) meneliti ucapan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam majlis lawatan beliau ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 1 pada 3 September lepas.

Di dalam majlis tersebut, beliau mengeluarkan ucapan untuk mempengaruhi pengundi Pulai secara tidak wajar dengan mengatakan bahawa projek penambahbaikan PPR tersebut akan diteliti dan diluluskan dengan syarat calon Pakatan Harapan (PH) perlu menang di PRK Pulai. Jika tidak, permohonan daripada Datuk Jafni, Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor akan ‘ditengok’ semula [1].

Susulan ucapan Zahid ini, kami berpandangan perkara ini perlu disiasat kerana bercanggah dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di bawah Seksyen 9 Pengaruh Tidak Wajar dan Seksyen 10 Penyogokan. Oleh sebab itu, kami memutuskan untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan berkaitan perkara ini.

Selain itu, ucapan tersebut juga adalah bercanggahan dengan prinsip 3C (tanpa syarat, tanpa kempen, tanpa calon) yang digariskan oleh BERSIH bagi kerajaan yang bukan sementara untuk berkelakuan semasa tempoh pilihan raya. Apa-apa pengumuman atau pertimbangan kerajaan yang diucapkan di dalam majlis-majlis kerajaan bukan sementara – dalam kes PRK Pulai dan Simpang Jeram ini adalah kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor – tidak boleh dibuat secara bersyarat, dihadiri oleh calon dan berkempen seperti yang dilakukan oleh Zahid Hamidi dan PH.

BERSIH menggesa Perdana Menteri (PMX) Anwar Ibrahim untuk segera mengawal perlakuan anggota kabinet beliau dengan menggariskan Garis Panduan Kerajaan Sementara dan Bukan Sementara semasa tempoh pilihan raya agar sumber dan jentera kerajaan tidak disalahgunakan oleh para menteri untuk berkempen. Apa yang dilakukan oleh TPM bukanlah pertama kali diucapkan. Sebelum ini ucapan yang hampir sama juga dibuat semasa di dalam kempen pilihan raya negeri yang lepas di Kuala Terengganu.

Pengumuman peruntukan kerajaan secara bersyarat hanya akan menghukum rakyat kerana menyatakan suara mereka di kertas undi serta perlakuan kempen seperti ini tidak pun akan menjana sokongan kepada kerajaan. Baki kempen bagi PRK ini dan seterusnya PRK Pelangai yang akan datang wajib dilakukan dengan bersih, adil dan demokratik.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih

[1] https://www.youtube.com/watch?v=pMsHz2m3jEE