BERSIH sokong suara Pengarang NSTP, minta Parlimen lebih berperanan

KUALA LUMPUR: Bagi membina asas dan kepercayaan, Kerajaan Perpaduan dan Pembangkang perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat daripada kepemimpinan Parlimen.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berpendapat, dalam hal ini, kepemimpinan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyelia pelaksanaan reformasi penting seperti undang-undang antilompat di bawah memorandum perjanjian (MOU) serta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, diperlukan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemandu BERSIH, pihaknya sehubungan itu menyambut baik gesaan Sidang Pengarang The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) supaya kerajaan dan pembangkang memeterai MOU bagi menghentikan kekalutan politik dengan parti komponen lain.

BERSIH berpandangan bahawa MOU itu juga dapat membendung gejala ekstrimisme serta menamatkan polemik yang tidak sihat dan membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya pada pemulihan negara.

Katanya, MOU itu juga dapat menjana kestabilan politik seperti yang dilihat dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani oleh kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pakatan Harapan pada September 2021 yang membolehkan kestabilan politik selama 13 bulan.

“MOU itu berjaya meluluskan undang-undang antilompat parti dan beberapa reformasi Parlimen.

“Jadi BERSIH menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menyatakan komitmen mereka bagi merundingkan sebuah perjanjian damai,” katanya.

Semalam, Sidang Pengarang NSTP menyarankan semua parti politik dalam kerajaan dan pembangkang melaksanakan MoU dinaungi Majlis Raja-Raja untuk menamatkan kekalutan politik termasuk manipulasi dan eksploitasi isu agama serta kaum.

Saranan itu dikemukakan dalam ketiga-tiga akhbarnya, iaitu BH, New Straits Times (NST) dan Harian Metro (HM), masing-masing melalui Minda Pengarang, NST Leader serta Minda.

BERSIH berharap kedua-dua Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional bersama kami untuk menyahut saranan positif dari BH, NST dan HM untuk menamatkan kekalutan politik dan memberi tumpuan menyelesaikan masalah rakyat, bangsa dan negara.

Mengulas lanjut mengenai cadangan MOU berkenaan, BERSIH berkata, Parlimen boleh memainkan peranan utama bagi perdamaian politik yang mampan sehingga 2027 serta memerlukan pemerkasaan Ahli Parlimen Pembangkang dan penyokong kerajaan sebagai pertukaran dengan janji pihak tertentu untuk tidak berkomplot menjatuhkan kerajaan.

Katanya, terdapat 10 usul dikemukakan oleh BERSIH yang dibawa dalam MOU berkenaan, antaranya pembabitan Reformasi Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menghapuskan kawalan politik oleh Perdana Menteri.

“Pejabat Pendakwaraya yang bebas perlu ditubuhkan berasingan daripada Peguam Negara yang fungsi utamanya sepatutnya menjadi penasihat undang-undang kerajaan.

“Reformasi pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menjadi lebih bebas dan pelantikan pesuruhjayanya dipertanggungjawabkan ke Parlimen bagi meningkatkan kepercayaan awam terhadap pilihan raya dan persempadanan semula kawasan yang adil.

“Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) supaya Parlimen ke-15 sehingga 18 Disember 2027 dan SPR membuat pra-umum tarikh pilihan raya yang tetap,” katanya.

BERSIH juga mencadangkan supaya permohonan pembubaran awal hanya boleh dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perdana Menteri dalam dua keadaan iaitu ketika kerajaan hilang majoriti atau pun usul pembubaran diluluskan oleh majoriti dua pertiga Dewan Rakyat.

“Tanpa menjejaskan kuasa YDPA untuk menahan keizinan pembubaran awal, hal ini akan memberikan lebih kestabilan dan kebolehramalan politik untuk membina keyakinan rakyat dan pasaran,” katanya.

Tambahnya, usul keempat adalah berkaitan dengan pengkanunan peruntukan dan proses untuk mekanisme kepercayaan Parlimen termasuk Undi Percaya Pengabsahan (Confirmatory Vote of Confidence) selepas pelantikan Perdana Menteri baharu dan Undi Tidak Percaya Konstruktif (Constructive Vote of No-Confidence) untuk membuang perdana menteri.

“Mekanisme kepercayaan ini akan meningkatkan keyakinan dan memastikan kestabilan bagi kerajaan majoriti atau minoriti serta memelihara peranan perlembagaan ketua negeri.

“Selain itu ialah Pindaan Peraturan Mesyuarat untuk kedua-dua Dewan bagi memperkasa ahli parlimen persendirian dan memastikan keberkesanan pengawasan parlimen dengan penubuhan Jawatankuasa Tetap dan Khas Parlimen serta memperuntukkan Masa Urusan Bukan Kerajaan apabila Parlimen bersidang.

“Pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memastikan Parlimen lebih mandiri. Parlimen perlu mempunyai belanjawan sendiri untuk mendana kakitangannya sendiri, jabatan penyelidikan, jawatankuasa pilihan serta pusat khidmat untuk ahli-ahlinya. Ini adalah antara reformasi yang belum terlunas semasa MOU Ismail Sabri.

“Antara lain adalah Pengiktirafan Kabinet Bayangan Pembangkang dengan peruntukan yang mencukupi untuk membayangi Menteri dengan akses maklumat berpatutan supaya mereka dapat berfungsi dengan berkesan sebagai pembangkang yang konstruktif dan kerajaan menunggu,” katanya.

Turut dicadangkan adalah berkaitan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dalam memastikan layanan yang sama rata kepada Ahli Parlimen tanpa mengira parti. Undang-undang yang sama perlu diperkenalkan di 13 negeri yang lain.

Akta Pembiayaan Politik dengan pendanaan politik bagi mencegah mencegah politik wang dan korupsi dalam parti serta memenuhi keperluan parti memberi dana pasa aktiviti dan kos pengoperasian mereka.

“Terakhir adalah berkaitan pemerkasaan Dewan Negara sebagai penjaga hak-hak negeri bersama wakil rakyat yang dipilih dan satu pertiga kuasa veto untuk Sarawak, Sabah dan Labuan.