Pasukan Petugas Khas Kementerian dan Prosiding PSSC Berhubung Pemisahan AG Dialu-alukan, Namun PM Perlu Isytihar Tempoh Masa Pemisahan Sebelum 2025

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas khas untuk mempercepatkan pemisahan peranan dan kuasa antara Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Raya (PR) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, serta prosiding yang dipanggil oleh William Leong, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Pasukan ini yang diumumkan oleh menteri melibatkan pasukan kajian teknikal dan perbandingan untuk mempercepatkan pindaan perlembagaan dan undang-undang yang diperlukan bagi memisahkan peranan AG dan PR, sementara prosiding JPKP akan menyiasat dan memanggil Peguam Negara untuk menjelaskan penarikan pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes korupsi Yayasan Akalbudi, permohonan pembatalan rayuan terhadap mantan Perdana Menteri Najib Abdul Rayak dan bekas Ketua Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkenaan penggubahan laporan audit 1MDB, dan pembatalan empat pertuduhan salah guna kuasa mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkaitan program Jana Wibawa.

Namun, kami ingin mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk secara terbuka mengisytiharkan bahawa pasukan petugas khas mempunyai tempoh tidak lebih daripada 1 tahun. Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri Anwar perlu menunjukkan iltizam politik dengan melaksanakan pemisahan AG dan PR sebelum hujung tahun 2024, yang bermaksud peruntukan kewangan yang sesuai perlu dimasukkan dalam Belanjawan 2025, yang kemungkinan akan dibentangkan pada Oktober 2024 – menjadikannya tarikh ini sebagai tarikh akhir. Oleh itu, tempoh masa satu tahun Pasukan Petugas Khas Teknikal perlu dikurangkan kepada 6-8 bulan untuk mempercepatkan pelaksanaan. Keenganan untuk memberikan tempoh yang jelas akan menghasilkan persepsi umum bahawa pasukan petugas ini hanya sekadar mengalihkan kemarahan orang ramai terhadap DNAA Timbalan Perdana Menteri minggu lepas.

Kos kewangan untuk pemisahan AG-PR tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melambatkan proses kerana ketidakyakinan umum terhadap proses kehakiman, Kerajaan dan sistem politik adalah jauh lebih mahal. Kami terbuka untuk bekerjasama dengan kedua-dua pasukan petugas khas dan prosiding serta membantu untuk memberikan dapatan kami dan berkongsi amalan terbaik. Pasukan petugas khas untuk kajian menyeluruh ini perlu melibatkan wakil daripada pertubuhan masyarakat sivil termasuklah Majlis Peguam dan ahli akademik yang pakar undang-undang seperti Shad Faruqi dan Andrew Yong. BERSIH sebelum ini telah menghasilkan kajian berkenaan pemisahan AG dan PR yang ditulis oleh pakar undang-undang. Hasil laporan kajian tersebut BERSIH mengesyorkan beberapa perkara berikut bagi memisahkan AG dan PR:

• Bagi mencegah pendakwaan jenayah daripada pengaruh politik atau pengaruh lain, PR perlu terdiri daripada pegawai berperlembagaan yang terpisah daripada AG. Memandangkan AG sebagai lantikan politik tanpa tempoh perkhidmatan tertentu, beliau tidak boleh memegang Pejabat Pendakwa Raya dan menjadi ahli mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan. Kuasa beliau hanya dalam ruang lingkup Jabatan Peguam Negara (AGC) dan tidak menjangkau Perkhidmatan Undang-Undang yang lain.
• Tidak perlu ada perubahan besar dalam peruntukan untuk pemilihan dan tempoh perkhidmatan AG. Perdana Menteri (PM) perlu ada keanjalan untuk memilih calon terbaik jawatan AG dan jawatan Menteri Undang-Undang/Keadilan, dan sepatutnya boleh menggabungkan kedua-dua jawatan tersebut dalam satu individu, jika beliau rasakan sesuai. Namun demikian, Parlimen perlu ada hak untuk meminta PM menghantar nasihat beliau bagi mendapatkan kelulusan jawatankuasa parlimen.
• Sama ada AG menjadi ahli kabinet atau perundangan atau tidak, beliau perlu menghadiri kabinet sebagai rutin, dan perlu ada hak seperti menteri kabinet, untuk menyertai sebagai ex officio dalam prosiding kedua-dua dewan Parlimen. Jika beliau dilantik menjadi Menteri Undang-Undang/Keadilan, maka beliau sudah tentu ahli salah satu Dewan tersebut.
• PR perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berdasarkan cadangan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan yang sesuai, yang mungkin selepas mempertimbangkan nasihat PM yang dikembalikan, sekurangnya sekali, kepada Suruhanjaya untuk pertimbangan. Parlimen perlu ada hak untuk meminta PM, sebelum menasihati YDPA, menyerahkan nasihat beliau untuk kelulusan jawatankuasa parlimen.
• PR perlu dilantik untuk penggal tunggal selama lapan tahun, tertakluk kepada usia persaraan maksimum dan dengan tempoh perkhidmatan yang sama seperti Hakim Mahkamah Persekutuan.
• Parlimen, dalam menjalankan bidang kuasa perundangannya ke atas undang-undang dan prosedur jenayah, perlu mempunyai kuasa untuk meminta PR berunding dengan AG dalam kes tertentu, tetapi tidak perlu meminta PR untuk bertindak tertakluk kepada persetujuan atau di bawah arahan atau kawalan mana-mana pihak. PR perlu sebaliknya menyerahkan laporan tahunan kepada Parlimen dan hadir dalam prosiding jawatankuasa parlimen apabila perlu untuk menjawab soalan atau memberikan bukti.
• Parlimen perlu mempunyai kuasa untuk membenarkan agensi pakar (SPRM, Suruhanjaya Sekuriti, pihak berkuasa tempatan dll) untuk memulakan dan menjalankan pendakwaan bagi kesalahan khusus dalam bidang kuasa mereka, namun PR perlu ada kuasa, dengan keizinan mahkamah atau agensi terbabit, untuk mengambil alih sebarang pendakwaan.

Kami mendoakan pasukan petugas khas dan JPKP selamat bertugas dalam rangka mempercepatkan isu yang mustahak ini. Kepercayaan rakyat kepada Kerajaan Madani dan institusi awam kita bagai telur di hujung tanduk. Akhir kalam, kami ingin bertanya kepada Perdana Menteri: adakah saudara beriltizam untuk melaksanakan perkara ini sebelum Oktober 2024?

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH