Tegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Bantu Rakyat Laksana Hak Berhimpun Secara Aman

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengingatkan pihak berkuasa bahawa rakyat mempunyai hak dalam perlembagaan untuk berhimpun secara aman kerana perkara ini adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang berfungsi. Polis bertanggungjawab untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan membantu perhimpunan aman dengan memastikan keselamatan peserta dan kawalan trafik.

Kami kecewa dengan tindakan berlebihan pihak polis yang menghalang himpunan untuk menghantar memorandum oleh sekumpulan petani dan aktivis di luar Parlimen semalam. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana himpunan aman untuk menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen adalah norma demokratik yang perlu dibantu, bukannya dihalang oleh pihak berkuasa. Kami menggesa Parlimen dan pihak berkuasa untuk membantu himpunan untuk menghantar memorandum secara aman dan tertib pada masa hadapan sama ada di luar atau di dalam Parlimen.

Kami ingin memperbetulkan kenyataan yang dilaporkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Hgan Mydin Pitchay bahawa penganjur himpunan pada 16 September untuk protes pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Zahid Hamidi perlu memohon permit daripada pihak berkuasa 5 hari sebelum tarikh perhimpunan. Hal ini adalah tidak tepat memandangkan Akta Perhimpunan Aman 2012 hanya memerlukan penganjur himpunan untuk memberi notis kepada pihak berkuasa dan bukannya memohon permit atau keizinan polis seperti waktu dulu. Kami menggesa pihak polis untuk membantu pihak yang membuat protest dengan memastikan keselamatan peserta dan juga kawalan trafik.

Sebagaimana yang telah terbukti dalam banyak himpunan aman yang lepas, terutamanya Bersih 4 dan Bersih 5, himpunan berjalan dengan aman walaupun dengan bantuan minimum daripada pihak polis. Kami menggesa pihak polis untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan menyediakan segala bantuan yang diperlukan kepada penganjur himpunan supaya dapat melunaskan hak demokrasi mereka.

Kami sekali lagi mengingatkan mereka yang berkuasa bahawa janji mereka kepada rakyat semasa PRU15 bahawa mereka mendapat undi daripada rakyat berdasarkan janji dan iltizam untuk menyemak dan menghapuskan akta-akta yang mendekam suara dan disalahguna untuk menghalang kebebasan bersuara. Penjajaran gabungan politik tidak seharusnya mengetepikan janji tersebut kepada rakyat serta kami menggesa mereka menunaikan dan menegakkan janji tersebut.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH