Dalam kita menyambut Hari Malaysia ke-60, jangan kita lupakan bahawa kemerdekaan adalah usahan yang berterusan dan tidak akan pernah selesai.
Kemerdekaan bukan sahaja tentang soal menghalau penjajah, tetapi berkisar rakyat menjadi tuan kepada kerajaan mereka dan menentukan nasib sendiri.
Kita boleh dijajah oleh orang sendiri jika demokrasi dibungkam dan dijajah oleh pihak asing sekiranya kerajaan kita menjual diri kepada kuasa luar.
Maka, kemerdekaan memerlukan kedaulatan undang-undang, di mana semua orang termasuklah ketua kerajaan adalah setara di hadapan undang-undang, serta kerajaan yang bersih di mana wang rakyat tidak boleh dirompak dan kuasa tidak boleh dijual beli.
Kemerdekaan kita di titik paling lemah pada 27 Julai 2015 apabila Perdana Menteri Najib Razak memecat Peguam Negara (AG) Abdul Ghani Patail dan menggantikannya dengan Mohamad Apandi Ali untuk mengelakkan beliau sendiri didakwa dengan skandal 1MDB. Hakikatnya ketika itu, Najib tidak tertakluk kepada undang-undang di Malaysia.
Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 yang membolehkan Najib Razak dan rakan subahat beliau didakwa menjadi titik perubahan kepada bukan sahaja demokrasi negara, tetapi juga kepada kemerdekaan dan kedaulatan undang-undang kita.
Peralihan secara demokrasi adalah buah kepada darah, peluh dan air mata yang dititiskan oleh generasi-generasi rakyat Malaysia yang menuntut demokrasi yang sebenar. Ramai hilang kebebasan, sementara ramai lagi yang menderita akibat keganasan pihak polis hanya kerana melaksanakan hak mereka untuk bersuara dan berhimpun secara aman.
Apa sahaja kecenderungan dan kepentingan parti kita, berakhirnya pemerintahan satu parti dan kejatuhan Najib perlu diraikan kerana Malaysia dapat bergerak ke arah demokrasi pelbagai parti dan memulihkan semula kedaulatan undang-undang.
Kemerdekaan di Malaysia kembali di puncak apabila pada 23 Ogos 2022 dengan Najib disabitkan bersalah dan dipenjarakan. Mesej jelas dihantar kepada semua rakyat Malaysia: bahkan Perdana Menteri tidak berada di atas undang-undang, dan jika melakukan jenayah anda akan dihukum.
Kami mengalu-alukan pengumuman Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said yang melantik dua pasukan petugas khas untuk kajian perbandingan antara negara dan kajian teknikal berkenaan pemisahan Pendakwa Raya dan Peguam Negara dalam tempoh setahun. Kami berpandangan bahawa pemisahan ini perlu disiapkan dalam tempoh setahun, dan tidak boleh ditangguhkan atas alasan teknikal atau kewangan.
Kami ingin menegaskan bahawa sementara proses pemisahan Pendawa Raya-AG dalam setahun ini berjalan, Kerajaan Perpaduan dan AG perlu membuat jaminan terbuka atas perkara-perkara berikut:
- Moratorium permohonan DNAA kes-kes berprofil tinggi melibatkan ahli politik seperti kes Najib yang sedang berjalan, kes Rosmah Mansor yang sedang berjalan, kes Lim Guan Eng, kes Syed Saddiq dan sebagainya. Biarlah pihak kehakiman menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak, tanpa campur tangan AG atau tuan politik beliau.
- Mendakwa semula Zahid sesegera mungkin selepas siasatan baharu terhadap kes Yayasan Akalbudi – satu yayasan untuk membantu masjid, pusat tahfiz dan anak-anak yatim – yang melibatkan 47 dakwaan korupsi, pecah amanah (CBT) dan penggubahan wang haram.
- Memastikan rayuan Jabatan Peguam Negara terhadap kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) Zahid yang melibatkan 40 dakwaan rasuah tidak akan terhenti secara tiba-tiba kerana sesetengah perkara teknikal.
- Kegagalan Pendakwa Raya dalam mematuhi tarikh permohonan rayuan terhadap Najib dan bekas Ketua Pengarah 1MDB Arul Kanda Kandasamy dalam kes penggubahan laporan audit 1MDB yang, mengakibatkan pembebasan mereka mesti disiasat dan kelaihan pegawai Jabatan Peguam Negara bertanggungjawab mesti dihukum sewajarnya.
Hakikatnya kredibiliti Jabatan Peguam Negara telah terhakis teruk dengan siri keputusan untuk memohon DNAA atau DAA (dilepaskan dan dibebaskan) untuk ramai ahli politik dan pegawai kerajaan daripada Lim Guan Eng (mantan Menteri Kewangan) kepada Musa Aman (mantan Ketua Menteri Sabah). Perdana Menteri yang menyetujui keputusan ini jelas menyokong pembebasan secara terpilih.
Sekiranya Najib dipenjarakan tahun lepas kerana beliau sudah tidak lagi berkuasa namun berjalan bebas esok kerana parti beliau berkuasa semula, maka mesej kepada rakyat Malaysia adalah sangat jelas: “kamu tidak bersalah sehinggalah kamu hilang kuasa, dan kamu menjadi suci semula selepas kamu berkuasa semula.’’ Hal ini akan memusnahkan keyakinan rakyat kepada sistem politik kita dan menyebabkan kesinisan politik yang melampau.
Akibatnya adalah maha hebat: mana-mana penjenayah yang ingin bebaskan diri hanya perlu memenangi pilihan raya umum dan kemudiannya tukar sahaja Peguam Negara. Malaysia sebegini, di mana salah atau tidak bersalah bergantung kepada kuasa dan pilihan raya menggantikan mahkamah untuk menghakimi keadilan, akan menjadi negara pariah dan sasaran utama untuk penjajahan ekonomi.
Pada Hari Malaysia ke-60 ini, kami memohon kewarasan dan nurani semua parti politik dan wakil rakyat untuk mempertahankan kemerdekaan dengan menegakkan kedaulatan undang-undang dan kerajaan yang bersih. Kami menggemakan semula seruan kami supaya terjalinnya perjanjian damai antara parti untuk mencegah sebarang ugutan politik daripada rakan kongsi kerajaan campuran.
Najib yang merompak negara perlu kekal di dalam penjara untuk kes SRC beliau dan dibicarakan seadilnya bagi kes yang berbaki lagi. Sekiranya garis merah ini dilanggar, rakyat Malaysia harus siap sedia untuk melangkah ke jalan raya sekali lagi untuk mempertahankan Malaysia.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH