Pendanaan Awam Parti Politik Sebagai Sebahagian Akta Pendanaan Parti Politik

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh YB Dato’ Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bahawa Kabinet telah bersetuju untuk menggubal satu Akta Pendanaan Politik.

Di dalam ucapan beliau di Dewan Rakyat semalam, Azalina juga berkata bahawa Kabinet telah merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia,  Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk mempertimbangkan tujuh skop dasar yang dirangka oleh kabinet.

Tujuh skop atau parameter dasar yang dirangka ini adalah baik tetapi kami berharap Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan/atau JPKP untuk Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, akan melibatkan semua pihak berkepentingan secara aktif sebelum rang undang-undang itu dibentangkan ke Parlimen, terutamanya pertubuhan masyarakat sivil yang sekian lama aktif berkempen dan mencadangkan butiran untuk Akta Pendanaan Politik yang mantap.

BERSIH juga berharap Akta baharu ini juga akan memasukkan komponen untuk pembiayaan awam untuk parti politik. Hal ini akan memastikan bahawa Akta ini bukan sahaja akan mengawal selia cara parti mendapatkan pembiayaan mereka tetapi juga menyediakan pendanaan awam berdasarkan peratusan undi mereka pada pilihan raya lalu serta dana khas kepada parti untuk menggalakkan perwakilan wanita di Dewan Rakyat.

Komponen pendanaan awam ini penting untuk meminimumkan pergantungan parti-parti dan ahli-ahli politik kepada penderma korporat besar, yang mungkin cuba mempengaruhi dasar kerajaan atau mempunyai akses kepada kontrak kerajaan secara tidak adil.

Akta Pendanaan Politik telah lama diperbincangkan dan beberapa kali tertangguh untuk dibawa ke Dewan Rakyat. Kini tiba masanya untuk negara melangkah setapak lagi dalam mereformasi sistem politik negara.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH