Timbalan Menteri Salah Guna Kuasa Umum Peruntukan di DUN Pelangai

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada portal berita Sinar Harian yang melaporkan bahawa Timbalan Menteri Pendidikan YB Lim Hui Ying yang mengumumkan peruntukan kepada tiga buah sekolah di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 22 September yang lepas.

Dua daripada tiga buah sekolah tersebut masing-masing menerima sejumlah RM30,000 dan sekolah ketiga menerima RM50,000. Menurut beliau, peruntukan ini adalah tambahan kepada sekolah bantuan kerajaan di Pahang sebelum ini.

BERSIH berpandangan bahawa tindakan mengumumkan peruntukan ini adalah merupakan satu pengaruh tidak wajar oleh kerajaan semasa tempoh pilihan raya. BERSIH telah mengeluarkan kenyataan menggesa Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mematuhi larangan 3C: Tidak bersyarat (no conditions), tidak berkempen (no campaign) dan tidak bawa calon (no candidates) agar sebarang pengumuman oleh semua Kementerian dan Agensi Persekutuan dalam tempoh pilihan raya tidak disalahgunakan untuk memenangi pilihan raya.

Berdasarkan garis panduan ini, pengumuman oleh Timbalan Menteri Pendidikan YB Lim yang mensasarkan tiga sekolah di kawasan PRK Pelangai memang melanggari garis panduan No Campaign, tidak berkempen. Sekiranya peruntukan tambahan diberikan kepada semua sekolah-sekolah SJKC ataupun SJKT diseluruh Pahang, pengumuman tersebut boleh dianggap tidak khusus kepada sekolah-sekolah di DUN tersebut sahaja.

Walaupun perkara ini masih belum menjadi kesalahan dari segi undang-undang semasa, BERSIH menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah bercanggahan dengan prinsip-prinsip pilihan raya adil dan bersih kerana pihak pembangkang tidak ada sumber atau jentera kerajaan untuk berkempen.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH