PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), hari ini melancarkan petisyen dalam talian dengan menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak terhadap empat tuntutan bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik.
Ia termasuk melaksanakan moratorium terhadap sebarang permohonan Peguam Negara bagi tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) atau pembebasan untuk semua kes berprofil tinggi membabitkan ahli politik sehingga pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan.
Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, mendakwa gesaan bersama 48 lagi pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan itu, dibuat susulan keputusan DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melalui kuasa budi bicara Peguam Negara, yang juga Pendakwa Raya di bawah undang-undang semasa.
Beliau mendakwa, disebabkan Peguam Negara adalah lantikan Perdana Menteri dan mempunyai kuasa untuk menarik semula kes jenayah seperti dalam kes Ahmad Zahid, pihaknya bimbang perjalanan tiga lagi kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Najib Razak mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai pendapatan, serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan pengubahan wang haram dan pengelakkan cukai akan berakhir dengan cara sama.
“Biar mahkamah melakukan tugasnya dengan menentukan berdasarkan fakta dan bukti, sama ada mereka bersalah atau tidak. Jika mereka bersalah, mereka diberi peluang untuk membuat rayuan seperti rakyat Malaysia yang lain.
“Jika ia berlaku seperti kes Ahmad Zahid, saya percaya ini adalah garis merah yang Perdana Menteri tidak boleh langkaui kerana ini akan menjadi satu tentangan kepada aspirasi rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih dan menegakkan kedaulatan undang-undang serta kestabilan politik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Selain itu, Thomas berkata, tiga lagi tuntutan yang dikemukakan melalui petisyen berkenaan adalah mempercepat dan mengisytiharkan akhir 2024 sebagai garis masa pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta membuka semula kes DNAA ahli politik yang dituduh rasuah, tidak terhad kepada kes Ahmad Zahid saja.
“Gesaan lain adalah tidak menarik semula atau menggugat semua rayuan dengan membiarkan peluang rayuan luput, seperti dalam kes 1MDB oleh Najib dan Arul Kanda (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB),” dakwanya.
Mengulas lanjut mengenai petisyen berkenaan, Thomas berkata, ia diharap akan mendapat sokongan daripada 100,000 orang dalam masa sebulan atau kurang.
“Ini juga seperti surat terbuka kepada Perdana Menteri dan kami akan menghantar satu salinan gesaan kami ini kepada beliau serta berharap beliau akan memberi maklum balas kepada kenyataan ini,” katanya.
(Pertama kali disiarkan oleh Berita Harian pada 5 Oktober 2023: https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2023/10/1161014/bersih-lancar-petisyen-gesa-tindakan-pm-terhadap-4-tuntutan)