BERSIH Lancar Laporan Meja Bulat Mendalami Demokrasi di Malaysia

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), bersama Yayasan Kofi Annan dan Global Bersih, sukacitanya melancarkan Laporan Meja Bulat Mendalami Demokrasi di Malaysia, di Parlimen Malaysia hari ini.

Laporan dwibahasa ini menyorot dapatan daripada perbincangan meja bulat yang melibatkan para menteri serta ahli parlimen kanan dan daripada luar negara, pakar dan pengamal demokrasi daripada Malaysia, Sweden, Finland, Jerman, Kanada, Australia dan Filipina, selain terdapat juga pengamal media dan wakil-wakil pertubuhan masyarakat sivil serta anak muda, yang telah berlangsung pada bulan Mei 2023 di Parlimen. Meja bulat ini dihadiri lebih 150 peserta dan ditonton oleh lebih 10,000 tontonan atas talian.

Laporan Meja Bulat Mendalami Demokrasi ini bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia – sama ada ahli politik, masyarakat sivil dan wakil perniagaan, ahli akademik, pengamal media sehingga rakyat biasa – di dalam mengemudi lanskap politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini: parlimen tergantung dengan Kerajaan campuran selepas berlakunya pilihan raya.

Keadaan yang tidak pernah terjadi berhubung dengan pelbagai parti ini telah menimbulkan pesoalan berhubung keabsahan, keberkesanan dan kemampanan sesebuah Kerajaan Gabungan dan peranan Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan dan Pembangkang di dalam Parlimen. Laporan ini cuba menjawab persoalan-persoalan ini di dalam lima perbincangan panel yang tematik:

  • Perkara ini melihat semula pertembungan dan rundingan silang parti yang menghasilkan undang-undang anti lompat parti (AHL), dengan pandangan daripada mantan Menteri undang-undang dan ahli Parlimen Penyokong Kerajaan kanan. Hal lain juga turut ditinjau seperti menggunakan alat perlembagaan lain termasuk Undi Tidak Percaya Konstruktif (CVNC) bagi menghalang perubahan Kerajaan yang kerap dalam era ketidakpuasan hati populis.
  • Panel 2 meneliti peranan “Pembangkang dan Kabinet Bayangan di dalam Parlimen.” Kita belajar dan memahami perkembangan institusi Pembangkang di dalam negara demokrasi dan melihat perubahan institusi yang membolehkan Kabinet Bayangan di Kanada dan Australia boleh berfungsi. Kabinet Bayangan dan mantan Menteri berbincang tentang pengiktirafan dan sistem sokongan yang diperlukan bagi Ketua Pembangkang di Parlimen dan Kabinet Bayangan menyediakan persaingan yang sihat dan konstruktif kepada Pembangkang.
  • Panel 3 mengkaji cabaran di dalam “Memandu Kerajaan Gabungan Pasca Pilihan Raya”. Perkara ini bermula dengan pengalaman negara Jerman apabila Kerajaan Gabungan dibentuk pasca pilihan raya sejak tahun 1949. Dua Menteri Kanan dan Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan berkongsi pandangan mereka berhubung bagaimana bekas pesaing besar mereka mengetepikan perbezaan mereka untuk membolehkan Kerajaan Gabungan mereka berdaya maju dan berkesan dan bagaimana gabungan pasca pilihan raya ini boleh Kembali kepada gabungan sebelum pilihan raya.
  • Panel 4 mengkaji “Pemerkasaan Ahli Parlimen.” Pengerusi Jawatankuasa Parlimen dan Pakar Parlimen telah bertukar-tukar pandangan bagaimana Ahli Parlimen penyokong Kerajaan dan Pembangkang boleh menyediakan semak dan imbang yang lebih berkesan oleh Kerajaan dengan memperkasa Jawatankuasa Pilihan Parlimen, membenarkan rang undang-undang persendirian dibentangkan dan menubuhkan kakitangan yang bersifat bebas untuk Parlimen. Pengalaman demokrasi berparlimen di negara Finland turut dibincangkan di dalam ruang ini.
  • Panel 5 mempersoalkan bagaimana pemerkasaan Parlimen boleh memberi manfaat kepada “Masyarakat Sivil, Media dan Anak Muda.” Pelbagai isu seperti isu maklumat palsu dan ucapan kebencian, politik identiti, pemerkasaan anak muda dan kebebasan menunaikan hak mengundi telah dibincang secara tuntas. Kita juga mempelajari pengalaman Filipina di dalam menggerakkan masyarakat awam bagi partisipasi demokrasi.

Cabaran-cabaran dan cadangan-cadangan utama telah dirumuskan dengan padat di dalam laporan ini. Sedang demokrasi di Malaysia sedang mengalami peralihan dan pengukuhan, kami akan memerhati dengan rapat dan memberi respon terhadap keperluan demokrasi kita yang mendesak dengan terus belajar daripada pengalaman Malaysia  dan amalan terbaik di serata dunia.

Kami amat berbesar hati kerana dapat mengadakan sidang meja bulat dan melancarkan hasil laporan ini di Parlimen, yang merupakan tempat terbaik untuk perbincangan masa depan demokrasi negara. Tidak akan ada kestabilan tanpa demokrasi dan sebaliknya. Dalam demokrasi berparlimen seperti Malaysia, Parlimen adalah institusi awam yang mustahak untuk mempertahankan demokrasi dan mengangkat agenda reformasi.

Tiga penganjur bersama – Bersih, Kofi Annan Foundation dan Global Bersih – adalah sangat berbesar hati dan bangga kerana mendapat sokongan penuh oleh Pejabat Speaker dan Timbalan Speaker, serta sumbangan daripada Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Suruhanjaya Tinggi Kanada, dan Suruhanjaya Tinggi Australia, dalam memastikan Laporan Meja Bulat ini berjaya dihasilkan.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH