BERSIH Akan Mengadakan Pemilihan Jawatankuasa Pemandu Yang Baharu

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) akan mengadakan pemilihan untuk memilih barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2023-2025. Sebagaimana nama BERSIH itu sendiri yang merupakan gabungan 58 badan bukan kerajaan (NGO), setiap NGO layak untuk mencalonkan, mengundi dan mempunyai suara dalam menentukan halatuju serta visi gabungan ini.

Memandangkan penggal Jawatankuasa Pemandu terkini daripada 2020-2022/2023 (yang dilanjutkan berikutan PRU dan PRN) telah sampai ke penghujung, satu pemilihan akan diadakan untuk memilih Jawatankuasa Pemandu BERSIH yang baharu bagi penggal 2023 – 2025.

Bagi mengotakan kata berkenaan ketelusan pilihan raya dan padang permainan yang sama rata, BERSIH menyediakan peluang yang sama rata kepada semua calon untuk berkongsi dan membentangkan visi mereka kepada pengundi (NGO di dalam gabungan) selain menyediakan tempoh kempen selama dua minggu bermula hari ini (24 Oktober), dan tiga hari pengundian untuk memastikan penyertaan dan akses yang maksimum terutamanya kepada NGO di Sabah dan Sarawak.

Pemilihan ini akan diadakan secara atas talian bermula 7 sehingga 9 November 2023. Pengundian akan ditutup pada pukul 5 petang dan keputusan akan diumumkan pada hari yang sama (9 November).

Tiga aktivis yang dihormati – Yap Swee Seng, Anne Lasimbang dan Stanley Yong – telah dilantik bagi menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan yang akan menjalankan pemilihan  dengan bantuan teknikal oleh Sekretariat BERSIH.

Sembilan (9) jawatan akan dipertandingkan, iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Naib Pengerusi bagi Sarawak, Naib Pengerusi bagi Sabah, Naib Pengerusi Semenanjung, Bendahari dan tiga ahli jawatankuasa. Memandangkan penamaan telah tamat pada 5 petang kemarin, penamaan yang diterima bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan adalah seperti berikut:

Proses pencalonan yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pemilihan bermula sejak 16 Oktober dan tamat pada 23 Oktober 2023. Empat daripada enam jawatan tertinggi dimenangi tanpa bertanding iaitu Pengerusi oleh Thomas Fann (dicalonkan oleh ENGAGE); Naib Pengerusi Wilayah (Semenanjung) oleh Azmil Mohd Tayeb (dicalonkan oleh Aliran dan ENGAGE); Naib Pengerusi Wilayah (Sarawak) oleh Fiqah Roslan (dicalonkan oleh PACOS Trust).

Pertandingan satu lawan satu akan ada bagi jawatan Timbalan Pengerusi antara Ngeow Chow Ying (dicalonkan oleh ENGAGE) dan Wong Yan Ke (dicalonkan oleh SUARAM), dan bagi jawatan Bendahari antara Tan Hui Chin (dicalonkan oleh ENGAGE) dan Sadina Suffian (dicalonkan oleh EMPOWER).

Tiga jawatan bagi ahli jawatankuasa tanpa portfolio akan ditandingi oleh tujuh calon. Calon-calon tersebut adalah Hasbullah bin Hj Ashari (dicalonkan oleh IKRAM), Aira Nur Ariana Azhari (dicalonkan oleh ENGAGE). Benedict Weerasena (dicalonlan oleh ENGAGE), Alex Johnsin (dicalonkan oleh EMPOWER), Haridas S. Krishnan Nair (dicalonlan oleh Aliran0 dan Beverly Joeman (dicalonkan oleh PACOS Trust).

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemilihan BERSIH