“Perbincangan Sidang Meja Bulat Asia Pasifik bagi Sempadan Pilihan Raya dan Pembahagian Tidak Adil: Amalan dan Penyelesaian” disimpulkan dengan Deklarasi Kuala Lumpur untuk Sempadan Pilihan Raya Yang Saksama, selepas perbincangan selama dua hari pada 28 dan 29 Oktober. Sidang ini dianjurkan bersama oleh The International Institute for Democracy and Electoral Assistance (International IDEA), Gabungan Pilihan Rasa Bersih dan Adil (BERSIH), Tindak Malaysia dan Perkumpulan Untuk Pemiliu dan Demokrasi, Indonesia (PERLUDEM).
Badan pengurusan pilihan raya dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) daripada lapan buah negara – Australia, Bhutan, India, Indonesia, Mongolia, Filipina, Sri Lanka dan negara hos, Malaysia, seramai lebih 30 peserta, membincangkan masalah pembahagian tidak adil, pelajaran daripada pengalaman negara-negara yang terlibat, peranan teknologi dalam proses persempadanan, amalan baik persempadanan, dan sumbang saran bagi penyelesaian untuk mencegah serta membendung amalan menyeleweng.
Hasil utama dalam meja bulat ini adalah deklarasi bersama yang memerhati keadaan persempadanan sedia ada dan menggesa untuk dilakukan penambahbaikan. Kami dengan ini menyiarkan dan menyebarkan Deklarasi Kuala Lumpur untuk Sempadan Pilihan Raya Yang Saksama, yang dirumuskan bersama oleh para peserta berasaskan teori dan amalan baik yang sahih.
***
Deklarasi Kuala Lumpur untuk Sempadan Pilihan Raya Yang Saksama
BERPANDUKAN Perkara 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948 bahawasanya “Kehendak rakyat perlu menjadi asas kepada kekuasaan kerajaan”;
MEMPERTAHANKAN prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’ (one person, one vote, one value – OPOVOV) dalam persempadanan bahagian pilihan raya seperti termaktub di dalam Kovenan Antarabangsa untuk Hak Sivil dan Politik (ICCPR);
MENGIKTIRAF bahawa pilihan raya perlu memudahkan keperwakilan dengan maksimum dan menggalakkan persaingan serta tidak dijadikan ritual untuk mengekalkan penyandangnya;
MENGAKUI bahawa peruntukan kerusi perundangan kepada bahagian politik atau pentadbiran yang mempunyai komuniti politik (negara, negeri/wilayah, dll) perlu dikira berdasarkan rumusan yang ditakrifkan dengan tepat, bersama mekanisme pembahagian semula dari semasa ke semasa, dan tidak diputuskan dengan wewenang badan perundangan atau badan-badan lain;
MEMPERTIMBANGKAN sudut pandangan institutsi termasuk Suruhanjaya Venis dan Internatinal IDEA,
KAMI, peserta di “Perbincangan Sidang Meja Bulat Asia Pasifik bagi Sempadan Pilihan Raya dan Pembahagian Tidak Adil: Amalan dan Penyelesaian”, di Kuala Lumpur, Malaysia pada 28-29 Oktober 2023 dengan ini menggesa pihak berkuasa untuk menguruskan persempadanan pilihan raya di rantau Asia dan Pasifik untuk mengangkat prinsip-prinsip dan cadangan-cadangan pembahagian kawasan, persempadanan, proses dan institusi persempadanan seperti yang berikut:
- Pembahagian kawasan pilihan raya
a. Sebagai prinsip umum, semua kawasan pilihan raya perlu mempunyai bilangan pengundi/penduduk dengan sisihan maksimum sebanyak tidak lebih 10% daripada purata, selari dengan prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’.
b. Perwakilan berlebihan bagi bahagian yang kecil atau terlalu besar (negeri/wilayah, dll) perlu dihadkan kepada Dewan Tinggi (upper chamber) dalam perundangan dwidewan (bicameral) yang akan memaksa deliberasi dan kompromi, tetapi tidak boleh dibenarkan bagi Dewan di mana kerajaan terbentuk, sama ada Dewan Rendah (lower chamber) di dalam perundangan dwidewan, atau perundangan dewan tunggal (unicameral).
c. Perwakilan berlebihan yang menyebelahi kawasan pendalaman dan luar bandar adalah tidak wajar. Sekiranya wujud pertimbangan berkenaan ketersampaian ke kawasan yang sukar diakses, atau kekurangan di luar bandar, hal ini perlu ditangani melalui penyaluran sumber yang bersesuaian.
- Persempadanan
a. Tertakluk kepada keperluan untuk mengatasi pembahagian tidak sekata, sempadan unit pentadbiran dengan perwakilan yang signifikan perlu dihormati.
b. Sempadan-sempadan kawasan pilihan raya perlu berdampingan dan dipadatkan secara relatif, tertakluk kepada halangan semulajadi dan infrastruktur, kecuali yang dipisahkan oleh perairan/saliran.
- Proses dan Institusi Persempadanan
a. Pihak berkuasa persempadanan perlu bebas, adil dan profesional.
b. Latihan persempadanan yang perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun, perlu berjalan dalam keadaan berikut:
i. Setelah memenuhi sela waktu, iaitu selama dua penggal penuh;
ii. Perubahan jumlah perwakilan yang dipilih;
iii. Kemasukan atau pembentukan unit kawasan pilihan raya yang baharu; atau
iv. Berlaku pembahagian tidak sekata merentas 1/3 kawasan pilihan raya yang melebih ambang 10% secara konsisten selama setahun.c. Apabila proses persempadanan bermula, orang awam perlu dialu-alukan untuk menghantar cadangan mereka dalam tempoh yang bersesuaian.
d. Pihak berkuasa persempadanan perlu mengkaji dan mempertimbangkan cadangan-cadangan ini di dalam cadangan-cadangan mereka, yang perlu tertakluk kepada semakan orang awam, bantahan dan pendengaran yang bersesuaian.
e. Pihak berkuasa persempadanan perlu memberikan justifikasi terhadap cadangan-cadangan mereka, dan memberi respon kepada bantahan.
f. Semua maklumat yang relevan kepada kriteria undang-undang bagi melukis sempadan, termasuk peta dan statistik, perlu didedahkan kepada umum sepanjang proses persempadanan.
g. Keputusan terakhir oleh pihak berkuasa persempadanan mestilah mengikat.
Kenyataan bersama oleh:
BERSIH, International IDEA, Tindak Malaysia, Perludem