Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) melahirkan rasa dukacita terhadap kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehingga kini masih belum memberikan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada Ahli-Ahli Parlimen terutamanya Ahli Parlimen Pembangkang. Disebabkan PM masih tidak memberikan peruntukan ini kepada ahli parlimen pembangkang, beberapa ahli parlimen seperti Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Ahli Parlimen Labuan, Ahli Parlimen Gua Musang, dan terbaru Ahli Parlimen Jeli telah mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan PM dan Kerajaan Persekutuan atas alasan keperluan mendapatkan peruntukan di kawasan mereka.
Penahanan peruntukan CDF untuk turun kepada MP daripada Perikatan Nasional adalah sesuatu yang tidak adil yang diamalkan oleh Kerajaan Madani kerana peruntukan tersebut diberikan kepada MP yang menyokong kerajaan.
Bersih tidak setuju peruntukan CDF untuk ahli-ahli parlimen pembangkang diikatkan dengan syarat-syarat tertentu kerana peruntukan ini patut diberi sebagai hak ahli parlimen tanpa mengira parti. Mereka juga dipilih oleh rakyat dan kerajaan Madani harus menghormati pilihan pengundi kawasan pembangkang dan tidak menggunakan peruntukan sebagai cip tawar-menawar untuk tarik sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang.
Semua Ahli Parlimen PN yang menyatakan pendirian untuk menyokong Kerajaan Persekutuan menunjukkan realiti malang politik di Malaysia hari ini. Mereka yang sehaluan dengan kerajaan mendapat wang awam dan sebaliknya mereka yang tidak menyokong kerajaan akan dihukum dengan ditahan peruntukan tersebut. Amalan tidak adil ini yang bermula di zaman BN dan disambung di zaman PN telah selama ini dibantah dan dijanji penghapusannya oleh PH dalam manifesto PRU15nya.
Bersih mengulangi seruan kami agar Kerajaan Madani dan PN menjalinkan perjanjian persefahaman (MOU) untuk reformasi institusi yang menjanjikan kestabilan politik dan gelanggang permainan yang rata untuk semua pihak, sebagaimana yang berlaku antara Kerajaan Keluarga Malaysia dan PH pada 13 September 2021.
Ini akan membolehkan kedua-dua Kerajaan dan pembangkang berkerjasama dan bersaing secara profesional dalam mengatasi cabaran ekonomi dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.
MOU boleh merangkumi pelbagai item reformasi, selain pengkanunan CDF setara untuk semua Ahli Parlimen dan ADUN, juga pendanaan awam untuk semua parti mengikut peratusan undi, pengiktirafan kabinet bayangan, pendalaman (deepening) reformasi Parlimen, Akta Parlimen Berpenggal Tetap, serta pemisahan Badan Pendakwaraya daripada Jabatan Peguam Negara.
Jika kedua-dua Kerajaan Madani dan PN keberatan untuk mengambil langkah pertama untuk menggerak perundingan MOU, kedua-dua pihak boleh meminta bantuan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaffar yang bertanggungjawab mengkotakan kebanyakan reformasi institusi dalam MOU 2021-2022, dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sebagai orang tengah jujur (honest broker) untuk membawa pendamaian demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH