Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2023-2025 Dipilih

Kenyataan Media Jawatankuasa Pemilihan BERSIH
10 November 2023

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2023-2025 Dipilih

 

Jawatankuasa Pemilihan yang ditubuhkan untuk menjalankan pemilihan untuk memilih Jawatankuasa Pemandu bagi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) daripada tempoh 2023 – 2025, telah menyelesaikan proses pengundian yang bermula 7 hingga 9 November 2023.

 

Proses pengundian, yang dijalankan secara atas talian untuk memboleh penyertaan Endorsing NGO kepada BERSIH yang berada di luar Lembah Kelang, menyaksikan penyertaan aktif dengan penerimaan 50 kertas undi daripada 60 NGO yang membentuk gabungan BERSIH. Jumlah pengundian adalah sebanyak 83.3%, yang merupakan peratusan tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Pemandu BERSIH.

 

Kertas undi telah dibuka dan dikira sejurus penutupan pengundian pada 5.00 petang pada 9 November 2023 di pejabat BERSIH. Proses tersebut disiarkan melalui aplikasi Zoom untuk disaksikan oleh Endorsing NGO dan disaksikan oleh lima pemerhati daripada Endorsing NGO secara fizikal di pejabat.

 

Memandangkan jawatan Pengerusi, Naib Pengerusi Semenanjung, Naib Pengerusi Sabah dan Naib Pengerusi Sarawak telah menang tanpa bertanding, pengundian yang dijalankan hanyalah untuk memilih jawatan Timbalan Pengerusi yang ditandingi oleh dua calon, Bendahari yang ditandingi oleh dua calon, dan tujuh lagi calon bertanding untuk tiga tempat bagi Ahli Jawatankuasa.

 

Keputusan undi yang dibuka dan dikira adalah seperti berikut:

 

Timbalan Pengerusi Jumlah Undi Diterima Status
Ngeow Chow Ying 23
Wong Yan Ke 27 Dipilih
Bendahari Jumlah Undi Diterima Status
Tan Hui Chun 18
Sadina Suffian binti Rahmat Suffian 31 Dipilih
Ahli Jawatankuasa Jumlah Undi Diterima Status
Jason Wee 6
Hasbullah bin Hj Ashari 11
Aira Nur Ariana Azhari 27 Dipilih
Benedict Weerasena 13
Alex Johnson 30 Dipilih
Haridas S. Krishnan Nair 31 Dipilih
Beverly Joeman 23

 

Berdasarkan keputusan ini, Jawatankuasa Pemilihan mengisytiharkan calon-calon berikut dipilih untuk membentuk Jawatankuasa Pemandu BERSIH bagi penggal 2023 – 2025:

 

Pengerusi: Thomas Fann

Timbalan Pengerusi: Wong Yan Ke

Naib Pengerusi (Semenanjung): Azmil Mohd Tayeb

Naib Pengerusi (Sarawak): Ann Teo

Naib Pengerusi (Sabah): Nur Afiqah binti Roslan

Bendahari: Sadina Suffian binti Rahmat Suffian

Ahli Jawatankuasa: Haridas S. Krishnan Nair, Alex Johnson dan Aira Nur Ariana Azhari

 

Jawatankuasa Pemilihan mengucapkan setinggi tahniah kepada semua calon yang telah berjaya dan semoga menjalankan amanah dengan baik untuk memimpin BERSIH dalam tempoh 2023 – 2025, serta mengucapkan terima kasih kepada semua yang bertanding dalam pemilihan kali ini. Jawatankuasa Pemilihan juga mengucapkan penghargaan kami kepada semua Endorsing NGO BERSIH yang aktif menjalankan hak mereka untuk mengundi dan menjadikan pemilihan kali ini lancar dan paling tinggi penyertaan. Akhir sekali, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sekretariat BERSIH yang membantu menjalankan proses pemilihan ini.

 

Dikeluarkan oleh:

Yap Swee Seng/Anne Lasimbang/Stanley Yong

Jawatankuasa Pemilihan

 

 

Lampiran: Biodata Ringkas Jawatankuasa Pemandu BERSIH, 2023 – 2025

 

Thomas Fann (Pengerusi): Thomas telah berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Zon Selatan dan Bendahari Bersih daripada 2013 – 2016 sebelum dipilih sebagai Pengerusi pada 2018. Beliau aktif dalam pendaftaran pemilih, menganjurkan protes aman dan mengemudi Pasukan DART (Delineation Action and Research Team) Bersih untuk mempersiapkan orang ramai bagi membantah sebarang persempadanan kawasan pilihan raya yang tidak adil oleh SPR. Sebagai aktivis sosial, beliau telah memulakan projek hak asasi yang penting seperti Freedom Fund yang membantu aktivis dan rakyat yang didakwa oleh kerajaan sebelum ini kerana menyatakan pandangan yang kritikal kepada kerajaan. Beliau juga pengasas kepada CAGED (Citizens Against Enforced Disappearances) untuk memantau kehilangan aktivis-aktivis agama. Beliau telah menjadi ahli Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang dibentuk oleh Perdana Menteri untuk menyemak semula sistem dan undang-undang pilihan raya Malaysia daripada 2018 – 2020.

 

Wong Yan Ke (Timbalan Pengerusi): Wong berkhidmat sebagai Koordinator Kempen dan Kes di SUARAM (Suara Rakyat Malaysia). Beliau adalah bekas penyelidik parlimen dan bekas aktivis mahasiswa di Universiti Malaya, yang terkenal dengan penyertaan dalam protes, termasuk pemansuhan AUKU dan #Lawan. Wong telah didakwa di bawah Seksyen 504 dan 188 Kanun Keseksaan kerana protes terhadap amalan perkauman di majlis konvokesyen beliau dan kerana memfilemkan serbuan polis. Beliau percaya kepada keseimbangan antara kumpulan pendesak dan advokasi, mengekalkan Bersih sebagai akar kepada pergerakan rakyat. Dengan latar belakang sebagai gerakan akar umbi, Wong mensasarkan untuk merapatkan jurang antara Bersih, anak muda, mahasiswa, Endorsing NGO dan massa, memboleh pertubuhan masyarakat sivil untuk bebas menyemak kerajaan tanpa mengira siapa pun yang berkuasa.

 

Azmil Tayeb (Naib Pengerusi, Semenanjung) adalah ahli sains politik di Universiti Sains Malaysia dan exco Aliran. Beliau telah mengkaji dan menerbitkan banyak makalah berkenaan politik Indonesia dan Malaysia. Beliau juga sering memberi pandangan terhadap politik Malaysia di media nasional.

 

 

Ann Teo (Naib Pengerusi, Sarawak) adalah peguam di Kuching, dengan penglibatan dalam pertubuhan masyarakat sivil selama 15 tahun. Beliau berharap untuk menjadikan advokasi Bersih dan perbincangannya lebih nasional, terutama untuk mengukuhkan suara Bersih menyeberang Laut Cina Selatan.

 

Fiqah Roslan (Naib Pengerusi, Sabah) sangat bersemangat dalam penglibatan sivik dan hak asasi manusia. Beliau pernah menjadi wartawan sebelum ini sebelum beralih sepenuhnya ke aktivisme melalui Undi Sabah dan Tiada.Guru. Beliau kini berkhidmat di Partnership & Learning Experience Facilitator, Forever Sabah.

 

Sadina Suffian (Bendahari) adalah auditor IT yang perjalanan beliau bersama Bersih bermula semasa PRU13 sebagai Pemantau, dan 2018 untuk semakan persempadanan pilihan raya. Kini berkhidmat sebagai Pengurus Kanan di Bahagian Pembangunan Komuniti Merdeka Center, menyelia inisiatif seperti Team Selangor dan MyCatalyz. Beliau sangat berdedikasi untuk memperkasakan akar umbi dan masyarakat.

 

Alexzander Johnson (Ahli Jawatankuasa) bekerja sebagai Pengurus Projek. Beliau telah terlibat dengan Bersih sejak 2012 sebagai ketua daerah dan negeri dalam Pemerhati Pilihan Raya semasa PRU13, PRU14 dan PRU15 untuk Bersih. Beliau juga memainkan peranan besar semasa himpunan Bersih 4 dan Bersih 5 dalam menggerakkan dan merancang strategi pasukan keselamatan.

 

Aira Azhari (Ahli Jawatankuasa) Pengurus Kanan Advokasi dan Program di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS). Beliau percaya bahawa demorkasi di Malaysia sedang berubah, dan masyarakat sivil perlu bekerja ke arah budaya politik yang lebih adil dan berdaya saing di mana semua pihak dapat menyertainya dengan bebas.

 

Haridas S. Krishnan Nair (Ahli Jawatankuasa) aktif dalam pertubuhan masyarakat sivil dan kini merupakan Exco Aliran Malaysia.