Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) khuatir dengan perkembangan di mana Ahli Parlimen (MP) daripada Perikatan Nasional yang menyatakan secara terbuka bahawa peruntukan pembangunan kawasan (CDF) adalah sebab utama mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PMX) dan membelakangkan pandangan parti mereka.
Pendirian Bersih, yang turut digemakan oleh pertubuhan masyarakat sivil yang lain, adalah supaya CDF diberikan dengan adil kepada semua MP tanpa mengira sokongan atau penentangan mereka terhadap parti pemerintah. Kerajaan Madani yang dipimpin PMX perlu menjadi lebih baik daripada kerajaan sebelumnya yang menahan peruntukan kepada MP pembangkang dan bebas.
Punca permasalahannya terbahagi kepada dua bahagian: kelompangan undang-undang antilompat yang sedia ada dan penggunaan peruntukan sebagai senjata untuk tawar menawar.
Bersih percaya ada tiga pilihan untuk menangani isu lompat parti:
Pertama, boleh ada usaha dwipartisan untuk memperketatkan undang-undang antilompat bagi menutup lompang yang ada, namun hal ini akan menghakis autonomi MP untuk mengundi berdasarkan nurani mereka dan terpaksa menuruti arahan parti atau dibuang dan hilang kerusi.
Kedua, Bersih cenderung supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan pilihan raya pecat (recall election) untuk dikenakan kepada mereka yang menukar kesetiaan tanpa meninggalkan parti. Mekanisme ini digunakan di beberapa negara seperti Taiwan dan Amerika Syarikat di mana pilihan raya pecat mengembalikan mandat kepada rakyat untuk mengisytiharkan sama ada sesuatu kerusi itu perlu dikosongkan selepas wakil rakyatnya terlibat dalam keputusan yang kontroversial seperti lompat parti atau menukar sokongan atau membangkang Perdana Menteri. Tidak seperti undang-undang antilompat di peringkat persekutuan dan negeri yang memberikan kuasa kepada Speaker atau Dewan Negeri untuk menentukan kekosongan kerusi, pilihan raya pecat memberi kuasa kepada pengundi bagi memulakan petisyen untuk memecat atau mengekalkan wakil rakyat mereka – walaupun pelaksanaan ini akan ada implikasi kewangan.
Ketiga, Malaysia perlu mempertimbangkan untuk melaksanakan sistem perwakilan berkadaran (PR) secara penuh atau separa sebagai sistem sistem pilihan raya baharu (atau sistem campuran). Dalam sistem PR, rakyat mengundi berdasarkan senarai parti, justeru undi itu jelas memberi mandat kepada parti dan bukannya individu.
Dalam isu CDF, Bersih mengusulkan dua langkah berikut:
Pertama, penginstitusian peruntukan CDF secara undang-undang untuk memberikan peruntukan yang adil agar peruntukan tersebut bukan lagi atas budi bicara PM. Bersih menyokong seruan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang telah menggesa kerajaan untuk mengkanunkan peruntukan CDF bagi menstabilkan politik Malaysia selain meratakan padang permainan politik.
Kedua, dalam jangka masa yang lebih panjang, CDF perlu berjalan sendiri atau diuruskan melalui kerajaan tempatan yang dipilih melalui pilihan raya kerana pembangunan kawasan tidak sewajarnya menjadi tugas MP, yang sepatutnya memberi fokus kepada isu nasional dan membahaskan rang undang-undang serta polisi-polisi utama kerajaan yang memerintah.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH