Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sukacita mengumumkan bahawa kami telah mendapat tempat kedua untuk Anugerah Citizens’ Engagement di Majlis Anugerah Pilihan Raya Antarabangsa ke-19 di Lisbon, Portugal. Pemenang anugerah ini adalah Elections Ontario of Canada. Acara ini dianjurkan oleh International Centre for Parliamentary Studies (ICPS) dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional Portugal, dan membawa bersama sosok terkemuka dalam hal ehwal pilihan raya peringkat dunia dalam simposium selama dua hari serta majlis penganugerahan pada 16 November.
Majlis penganugerahan tersebut adalah acara utama acara ini dan mengiktiraf serta meraikan sumbangan cemerlang yang dilakukan oleh individu dan organisasi dalam bidang pilihan raya. Kebanyakan badan yang dicalonkan untuk menerima pelbagai pengiktirafan adalah Badan Pengurusan Pilihan Raya kecuali BERSIH dan International IDEA. Thomas Fann, Pengerusi BERSIH hadir bagi menerima plak anugerah tersebut bagi mewakili BERSIH.
Anugerah Citizens’ Engagement diberikan bagi mengiktiraf tiga kempen BERSIH sejak 2020 sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pertama adalah kempen untuk mendesak pelaksanaan mekanisme antilompat parti selepas Langkah Sheraton pada 2020 yang menatijahkan Undang-Undang Antilompat. Kehendak pengundi secara kolektif yang memilih parti yang mewakili mereka perlu dihormati selepas pilihan raya berbanding dikhianati oleh wakil-wakil rakyat yang bebas melompat ke parti lain tanpa ada perasaan bertanggungjawab kepada pengundi mereka. Kempen selama dua setengah tahun melibatkan banyak libat urus bersama penggubal undang-undang dan orang awam dengan kerjasama badan media telah berhasil meluluskan Undang-Undang Antilompat pada Julai 2022 dan penguatkuasaannya yang bermula 5 hari sebelum Parlimen ke-14 dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15.
Kempen kedua adalah kempen Ketuanan Pengundi untuk mengembalikan kepercayaan kepada demokrasi dengan memfokuskan reformasi-reformasi yang boleh menstabilkan politik dan melindungi kepentingan rakyat. Enam tuntutan Ketuanan Pengundi adalah – jangan nafi undi rakyat, hentikan lompat parti, bebaskan Parlimen dari cengkaman eksekutif, hak membantah, reformasi Peguam Negara dan kembalikan pilihan raya kerajaan tempatan. Objektif kedua kempen ini pula adalah untuk meyakinkan parti politik yang akan bertanding pada PRU15 supaya memberi komitmen kepada tuntutan refomasi ini.
Kempen ketiga adalah Kempen #VoteFuture untuk meningkatkan jumlah pengundian pada PRU15. Dengan kehampaan politik selepas kudeta politik pada 2020 dan peningkatan jumlah pengundi selepas penurunan had umur mengundi ke 18 tahun serta pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik yang menyaksikan jumlah pengundi dalam daftar pemilih pilihan raya meningkat 40% daripada 14.9 juta ke 21.1 juta berbanding PRU14, kebimbangannya adalah peratusan pengundian akan menurun daripada 82.3% ke 60%. BERSIH melancarkan kempen ini untuk meningkatkan jumlah pengundi ke sekurang-kurangnya 70%, dan akhirnya jumlah pengundian pada PRU15 adalah sebanyak 74%.
Kami amat berbesar hati di atas pengiktirafan terhadap kempen dan advokasi yang didesak bagi mereformasi pilihan raya dan memperkasakan demokrasi berparlimen. Pengiktirafan ini mengesahkan peranan penting kami dalam mengadvokasikan demokrasi yang lebih stabil, inklusif dan berakauntabiliti, serta memperakui bahawa kunci bagi mencapai apa-apa reformasi institusi adalah dengan penglibatan rakyat.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH