Bergerak Ke Hadapan Selepas Pemilihan Jawatankuasa Pemandu 2023 dan Peletakan Jawatan Pengerusi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu (SC) baharu semalam untuk membincangkan jalan ke depan pasca pemilihan Jawatankuasa bagi penggal 2023 – 2025, dan peletakan jawatan Pengerusi, Thomas Fann secara mengejut dua hari lalu.

 

Fann menjelaskan keputusan beliau untuk meletak jawatan dan SC menghormati serta memahami keputusan Pengerusi. Satu pemilihan kecil (by-election) akan dijalankan secepat mungkin bagi mengisi kekosongan jawatan Pengerusi dan Jawatankuasa Pemilihan (JP) akan dibentuk untuk menjalankan pemilihan. Notis pencalonan, kempen dan tempoh berkempen akan diumumkan oleh JP kepada Endorsing NGO dalam tempoh terdekat.

 

Fann juga memberi keyakinan bahawa beliau akan menjadi Pengerusi sementara untuk memastikan peralihan tanggungjawab kepada SC dan Pengerusi Baharu berjalan lancar. Fann, yang mempengerusikan mesyuarat semalam, kemudiannya menjelaskan struktur operasi pasukan BERSIH, peranan setiap Ahli SC, serta program dan advokasi yang sedang berjalan. Keyakinan juga diberikan oleh Pengarah Eksekutif Ooi Kok Hin bahawa Sekretariat akan terus menjalankan peranan mereka untuk mendukung SC Baharu dalam kerangka memastikan BERSIH terus relevan dan berkesan untuk advokasi reformasi pilihan raya dan institusi.

 

SC baharu mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa terdahulu dan Fann atas usaha yang ditumpahkan untuk mengemudi BERSIH dalam tempoh politik yang bergelora sejak PRU14 sehingga kini, melihat pertukaran empat Perdana Menteri dalam lima tahun, satu PRU dan beberapa PRN dan PRK.

 

Dalam tempoh lima tahun, BERSIH telah mengeluarkan lebih 20 laporan penyelidikan, menerbitkan buku pertama, menggerakkan pelbagai kempen dan membina rakan sekutu merentas parti. Hal ini adalah asas yang kukuh yang dibentangkan untuk SC baharu gunakan untuk membina dan membawa BERSIH ke peringkat yang lebih tinggi.

 

BERSIH berada di kedudukannya sekarang atas sokongan dan dukungan rakyat, serta iltizam semua Jawankuasa Pemandu yang memimpinnya pada masa lalu. Kami berdiri atas pundak hasil usaha mereka. Huluran baton kepada pasukan baharu ini akan memahat lembaran baru BERSIH. Hidup rakyat, hidup demokrasi, hidup BERSIH!

 

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH