Penilaian reformasi Kerajaan Perpaduan bawah jangkaan – Bersih

SHAH ALAM – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendedahkan penilaian prestasi Kerajaan Perpaduan dalam reformasi pilihan raya dan institusi adalah sebanyak 21.6 peratus atau 11 daripada 51 mata selepas setahun pemerintahan.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, walaupun Kerajaan Perpaduan telah mencapai kemajuan yang membanggakan dalam beberapa bidang seperti pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, namun prestasi mereka adalah di bawah jangkaan.

“Pengundi telah dijanjikan reformasi-reformasi ini dalam manifesto pilihan raya mereka hanya setahun yang lalu, namun kemajuan berada pada kadar yang amat perlahan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti menyegerakan reformasi ini.

“Bagi empat reformasi bertindih yang dijanjikan oleh kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), tiada alasan untuk menangguhkan pelaksanaannya dan garis masa yang jelas mesti dinyatakan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut kenyataan Bersih tersebut, empat reformasi yang bertindih itu ialah pengasingan kuasa untuk Pendakwa Raya dan Peguam Negara, memperbaharui proses pelantikan pegawai awam yang ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP), memperkenalkan Akta Pembiayaan Politik dan penurunan kuasa dari Persekutuan ke negeri.

“Kami mengakui dan memuji bahawa tiga ikrar reformasi sedang dijalankan pada masa ini iaitu pemisahan peguam negara dan pendakwa raya, Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Perolehan Kerajaan, tetapi garis masa yang jelas untuk pelaksanaan masih belum diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Dua janji reformasi besar telah dimungkiri oleh Kerajaan Perpaduan iaitu peruntukan pembangunan kawasan (CDF) pilihan raya yang saksama tanpa mengira Ahli Parlimen yang prokerajaan atau pembangkang dan pemansuhan undang-undang drakonian seperti Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

(Pertama kali disiarkan oleh Sinar Harian pada 23 November 2023: https://www.sinarharian.com.my/article/636060/berita/nasional/penilaian-reformasi-kerajaan-perpaduan-bawah-jangkaan—bersih)