Reformasi Pada Kadar Siput: Penilaian Tahun Pertama Kerajaan Perpaduan mengenai Reformasi Pilihan Raya dan Institusi, 2022-2023

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan atas beberapa reformasi institusi yang dijalankan pada tahun pertamanya dan menggesa lebih banyak lagi seperti yang dijanjikan oleh gabungan dan parti masing-masing dalam kerajaan, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Kami berpendapat bahawa kerajaan campuran selepas pilihan raya tidak seharusnya menjadi alasan untuk meninggalkan semua janji reformasi yang dibuat dalam manifesto kedua-dua pakatan, terutamanya memandangkan hakikat bahawa a) terdapat empat janji utama yang dikongsi dalam kedua-dua manifesto BN dan PH, menunjukkan ia termasuk dalam persetujuan mereka, yang belum dilaksanakan sepenuhnya; b) Perdana Menteri sendiri adalah ketua gabungan PH ketika janji-janji ini dibuat kepada pengundi.

Penilaian keseluruhan kami khususnya kepada reformasi institusi dan pilihan raya adalah, walaupun Kerajaan Perpaduan telah mencapai kemajuan yang membanggakan dalam beberapa bidang seperti pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, namun prestasi mereka adalah di bawah jangkaan. Pengundi telah dijanjikan reformasi-reformasi ini dalam manifesto pilihan raya mereka hanya setahun yang lalu, namun kemajuan berada pada kadar yang amat perlahan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti menyegerakan reformasi ini. Bagi empat reformasi bertindih yang dijanjikan oleh kedua-dua BN dan PH, tiada alasan untuk menangguhkan pelaksanaannya dan garis masa yang jelas mesti dinyatakan oleh Perdana Menteri. Empat reformasi yang bertindih ialah: i) Pengasingan kuasa untuk Pendakwa Raya dan Peguam Negara; ii) Memperbaharui proses pelantikan pegawai awam yang ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP); iii) Memperkenalkan Akta Pembiayaan Politik; dan iv) Penurunan kuasa dari persekutuan ke negeri.

Kami mengakui dan memuji bahawa tiga ikrar reformasi sedang dijalankan pada masa ini iaitu pemisahan peguam negara dan pendakwa raya, Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Perolehan Kerajaan, tetapi garis masa yang jelas untuk pelaksanaan masih belum diumumkan oleh Perdana Menteri.

Kerajaan Perpaduan juga sebahagian besarnya membisu dengan beberapa janji yang tidak ditunaikan, termasuk pengenalan had tempoh 10 tahun untuk Perdana Menteri dan Menteri Besar/Ketua Menteri, penggubalan Akta Penggal Tetap Parlimen, penyelesaian ketidakseimbangan kawasan pilihan raya yang melampau dengan menetapkan had sisihan 30% yang jelas daripada saiz purata negeri, meletakkan lantikan utama seperti Pesuruhjaya Pilihan Raya, Pendakwa Raya, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan lain-lain untuk disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Parlimen, memperkenalkan undi tidak hadir untuk pengundi di luar kawasan terutamanya Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung Malaysia, dan sebaliknya.

Dua janji reformasi besar telah dimungkiri oleh Kerajaan Perpaduan: peruntukan pembangunan kawasan (CDF) pilihan raya yang saksama tanpa mengira Ahli Parlimen yang pro-kerajaan atau pembangkang; dan pemansuhan undang-undang drakonian seperti Akta Hasutan dan SOSMA. Menteri Dalam Negeri malah mempertahankan kewujudan atau penggunaan akta-akta kuno ini, walaupun bertahun-tahun berkempen menentangnya.  Mengenai CDF, Kerajaan Madani sepatutnya melakukan yang lebih baik daripada kerajaan terdahulu yang menahan peruntukan CDF daripada Ahli Parlimen pembangkang dan bebas.

Kami menuntut Perdana Menteri untuk segera berusaha menunaikan janji reformasi yang masih belum terlunas, dengan garis masa yang jelas dan sumber yang berpatutan:

  1. Penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen
  2. Penggubalan Akta Pembiayaan Politik
  3. Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya
  4. Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan penggal Perdana Menteri selama 10 tahun
  5. Penggubalan Akta Penggal Tetap Parlimen
  6. Pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya
  7. Pemantauan pelantikan pegawai awam utama yang telus dan melalui parlimen
  8. Semakan semula oleh jawatankuasa parlimen bagi Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
  9. Akta parlimen untuk memperuntukkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama kepada semua ahli parlimen.
  10. Pengiktirafan dan pemerkasaan Kabinet Bayangan Perikatan Nasional (PN) dengan elaun, pegawai penyelidik dan akses kepada maklumat kementerian.
  11. Pindaan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan untuk menghadkan sisihan purata negeri bagi jumlah pemilih tidak lebih daripada 30% untuk menangani ketidakseimbangan kawasan pilihan raya melampau yang wujud sekarang.
  12. Menubuhkan jawatankuasa yang mengandungi SPR, JPKP, ahli berkepakaran dan anggota masyarakat sivil untuk mengkaji pelaksanaan undi tidak hadir bagi pengundi luar wilayah (Sabah dan Sarawak) dan pengundi luar negeri.

 

Berdasarkan matriks kami untuk menilai prestasi Kerajaan Perpaduan dalam reformasi pilihan raya dan institusi, mereka hanya mendapat 11 mata daripada 51 mata atau 21.6 peratus dalam setahun pemerintahan. Sila rujuk Lampiran di bawah.

Walaupun Kerajaan Perpaduan masih belum memenuhi jangkaan, BERSIH akan terus bertemu dan mendesak Kerajaan, Parlimen dan pihak-pihak yang berkepentingan untuk advokasi reformasi, serta memantau serta membuat semak dan imbang kepada perkembangan yang sedang berlaku. Kami menyedari bahawa Kerajaan Perpaduan berkemungkinan mempunyai empat tahun lagi untuk memenuhi janji pilihan raya mereka dan sebarang penggubalan atau pindaan kepada undang-undang memerlukan masa untuk perundingan, perangkaan dan pembentangan. Harapan kami adalah kita dapat melihat lebih banyak reformasi yang akan ditunaikan.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH

 

Lampiran: Penilaian pelaksanaan reformasi untuk satu tahun Kerajaan Perpaduan

Reformasi institusi Status Mata
Janji oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional
Pemisahan kuasa pendakwa raya dan peguam negara Sedang berjalan 1
Reformasi proses pelantikan pegawai awam, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya, melalui tapisan jawatankuasa pilihan khas Tidak ditunaikan 0
Pengenalan akta pembiayaan politik Sedang berjalan 1
Penurunan kuasa daripada persekutuan ke negeri. Tidak ditunaikan 0
Janji oleh Pakatan Harapan
Had penggal Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar selama 10 tahun Tidak ditunaikan 0
Akta Penggal Tetap Parlimen Tidak ditunaikan 0
Pejabat belanjawan parlimen dan akta perkhidmatan parlimen. Sedang berjalan 1
Peruntukan Pembangunan Kawasan yang saksama Dilanggar -1
Menyelesaikan ketidakseimbangan kawasan pilihan raya melampau, contohnya saiz kawasan pilihan raya yang tidak seimbang, dengan melaksanakan 30% had sisihan daripada saiz purata kawasan dalam negeri yang sama Tidak ditunaikan 0
Undi tidak hadir kepada pengundi luar kawasan terutamanya Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung dan sebaliknya. Tidak ditunaikan 0
Menyemak dan memansuhkan Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Percetakan dan Penerbitan 1984. Dilanggar -1
Meminda Akta Rahsia Rasmi, Akta Perlindungan Whistleblower, dan memperkenalkan akta kebebasan maklumat. Tidak ditunaikan 0
Menggubal akta perolehan kerajaan Sedang berjalan 1
Memperkasakan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) Tidak ditunaikan*[1] 0
Tidak dijanjikan namun perkembangan reformasi yang baik
Memasukkan Masa Soalan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat Ditunaikan 3
Meningkatkan jumlah usul daripada dua kepada empat, dalam Kamar Khas Ditunaikan 3
JPKP mempunyai pemantauan yang lebih kuat dalam terma rujukan, serta mempunyai lebih kebebasan untuk menentukan aktiviti dan garis siasatan mereka. Ditunaikan 3
Jumlah mata (daripada 51) Penilaian keseluruhan:
Dibawah jangkaan
11

 

Metodologi pengiraan

 

Status Definisi Mata
Ditunaikan Janji telah ditunaikan sepenuhnya. 3
Separa ditunaikan Janji ditunaikan bagi sesetengah bahagian 2
Sedang berjalan Perkembangan sedang dilakukan untuk memenuhi janji 1
Tidak ditunaikan Tidak ada langsung pengumuman atau perkembangan yang dibuat untuk menunaikan janji. 0
Dilanggar Janji telah dilanggar atau kerajaan telah membuat pusingan-U -1

[1] Pakatan Harapan menjanjikan dalam manifesto PRU15 mereka untuk memperkasakan IPCC berdasarkan cadangan-cadangan dalam Laporan Dzaiddin. Mereka belum berbuat demikian dan hanya sekadar mengulangi perancangan IPCC (melalui RUU yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini, yang telah dikritik oleh masyarakat sivil dan PH sendiri kerana kekurangan kuasa dan autonomi untuk menyiasat) yang akan berkuatkuasa tidak lama lagi.