Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengkritik kenyataan Perdana Menteri (PMX) Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan memberikan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang. Beliau mengeluarkan kenyataan ini semasa ucapan penggulungan di dalam Kongres Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) semalam [1]. Kenyataan ini amat dikesali kerana menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak menunjukkan minat dan iltizam politik untuk menyediakan padang politik yang sama rata kepada semua ahli parlimen.
BERSIH dan IDEAS sekali lagi menggesa Kerajaan Perpaduan pimpinan PMX, dengan slogan MADANI mereka, untuk memaknai kalimat madani ini dengan sebenar-benarnya dengan memberi peruntukan pembangunan kawasan (CDF) yang sama rata kepada semua ahli parlimen, tidak kira sama ada yang menyatakan sokongan kepada kerajaan mahupun di pihak pembangkang. Peruntukan CDF ini sepatutnya diberikan kepada semua ahli parlimen dan bukannya semata-mata kepada ahli parlimen kerajaan sahaja kerana semua ahli parlimen telah dipilih oleh rakyat di kawasan masing-masing.
Kerajaan Perpaduan seharusnya bersifat lebih reformis dan progresif dengan mengkanunkan peruntukan CDF kepada ahli parlimen sebagai undang-undang agar peruntukan ini tidak disalahgunakan sebagai balasan untuk mempengaruhi mana-mana ahli parlimen bagi menyokong kerajaan, sebagaimana yang berlaku pada hari ini dengan empat Ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Kerajaan Madani. Pengkanunan ini juga penting untuk menentukan cara CDF diperuntukkan dan penyeliaan bagaimana peruntukan tersebut dibelanjakan secara telus.
BERSIH dan IDEAS berpandangan sekiranya peruntukan ini ingin diberikan terus kepada rakyat untuk pembangunan sebagaimana yang diujarkan oleh PMX, seharusnya peruntukan itu tidak wajar diberikan kepada ahli parlimen kerajaan. Dalam jangka masa yang sederhana-panjang, peruntukan CDF bagi membantu rakyat perlu diberikan secara terus kepada kerajaan tempatan yang dipilih melalui pilihan raya dan diselia secara undang-undang agar peruntukan itu diberikan dengan telus dan ada mekanisme bagi pengawalseliaan.
Ahli parlimen hanya akan menerima peruntukan untuk menyelia pusat khidmat mereka dan menjalankan kerja-kerja hakiki seperti kajian polisi dan perundangan untuk diusulkan serta dibahaskan di Parlimen. Peruntukan kepada pusat khidmat ahli parlimen ini harus dikawalselia melalui Akta Perkhidmatan Parlimen. Selain peruntukan pusat khidmat, pendanaan awam parti politik juga boleh diberikan berdasarkan peratusan undi yang diterima oleh parti politik tersebut pada pilihan raya umum yang lepas untuk mendanai kempen dan aktiviti parti politik dan pendanaan ini diberikan melalui Akta Pendanaan Politik.
BERSIH dan IDEAS juga mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan dan pihak pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) segera berbincang bagi merundingkan perjanjian persefahaman (MOU) untuk reformasi institusi yang menjanjikan kestabilan politik dan gelanggang permainan yang rata untuk semua pihak, sebagaimana yang berlaku antara Kerajaan Keluarga Malaysia dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021. Sebarang cakap-cakap atau komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Persekutuan di pertengahan penggal perlu dihentikan dan fokus harus diutamakan untuk negara menghadapi realiti ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar kini.
Dikeluarkan oleh:
BERSIH dan IDEAS