Bekas Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz dipilih sebagai pengerusi baru untuk mengetuai kumpulan pembaharuan pilihan raya Bersih.
Menurut kenyataan jawatankuasa pemilihan organisasi itu, Faisal memenangi jawatan berkenaan dalam persaingan sengit dengan seorang lagi calon, Gopalan K Papachan hari ini.
Daripada 61 NGO yang membentuk gabungan Bersih, katanya, 45 menyertai proses pengundian dengan 23 mengundi Faisal manakala Gopalan menerima 22.
“Berdasarkan keputusan di atas, jawatankuasa pemilihan mengisytiharkan Muhammad Faisal Abdul Aziz sebagai Pengerusi Bersih yang baru bagi penggal 2023 hingga 2025.
“Jawatankuasa pemilihan mengucapkan tahniah kepada calon yang telah dipilih dan mendoakan yang terbaik untuk mereka melaksanakan tanggungjawab menerajui Bersih bagi penggal ini,” kata kenyataan itu.
Pemilihan untuk jawatan pengerusi Bersih diadakan selepas penyandangnya Thomas Fann melepaskan jawatannya pada bulan lalu.
Menurut Fann, walaupun dia mengekalkan jawatan pengerusi tanpa dicabar semasa pemilihan awal Nov lalu, kebanyakan calon lain yang ada dalam pasukannya ditolak oleh NGO yang mengambil bahagian.
Kata Fann, dia melihat pemilihan tersebut sebagai “undi tidak percaya” terhadap kepimpinannya dan dengan itu memutuskan untuk meletakkan jawatan.
(Disiarkan pertama kali oleh Malaysiakini pada 15 Disember 2023: https://m.malaysiakini.com/news/690242)