BERSIH sokong akta kekal penggal Parlimen

KUALA LUMPUR: Akta Penggal Tetap Parlimen diperlukan bagi memastikan penggal Parlimen kekal hingga akhir tempoh demi kestabilan politik dalam membantu melancarkan usaha reformasi untuk kepentingan rakyat.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berpandangan, penggubalan akta itu perlu disusuli pembentukan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan yang saksama kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Ia bagi memastikan hak dan keadilan untuk semua ahli Parlimen dijamin oleh undang-undang.

“Akta ini penting bagi memastikan penggal Parlimen kekal hingga habis tempoh pada 18 Disember 2027,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan penggubalan rang undang-undang (RUU) penggal tetap Parlimen supaya pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) seterusnya diadakan.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, langkah itu berupaya menjamin kestabilan negara berikutan kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Pada masa sama, Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, akta itu tidak akan menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memberi perkenan pembubaran Parlimen sekiranya diminta oleh Perdana Menteri seperti yang dinyatakan dalam Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi akta itu, jelasnya, sebarang tatacara membabitkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan atau Perdana Menteri di dalam Parlimen berasaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan harus dinyatakan dengan jelas.

“Ini bagi menjamin sebarang langkah belakang yang bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen tidak lagi berlaku.

“Sebagai tambahan, pengenalan kepada mekanisme kepercayaan di Dewan Rakyat dengan dua prosedur iaitu Undi Tidak Percaya Berkonstruktif yang hanya membenarkan Perdana Menteri ditukar jika ada calon digantikan dan calon itu disahkan dengan mekanisme Undi Pengesahan Kepercayaan.

“BERSIH menyarankan semua blok politik bekerja untuk menambah baik gerak kerja yang memberi manfaat kepada rakyat dan hentikan permainan politik yang merugikan masa depan negara,” katanya.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, sudah tiba masanya kerajaan dan pembangkang duduk semeja dan bersepakat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Reformasi Politik demi kepentingan rakyat.

Katanya, MOU itu pernah dibuat ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas gesaan BERSIH yang membolehkan wujudnya Undang-Undang Antilompat Parti.

“Usaha ini mustahak demi kemajuan negara dan penambahbaikan sistem politik sedia ada yang pasti akan memberi manfaat kepada semua pihak.

“BERSIH bersedia tampil menjadi perantara antara kerajaan dan pembangkang untuk memastikan ia dijayakan sebaiknya,” katanya.

(Pertama kali disiarkan oleh Berita Harian pada 14 Januari 2024: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1200169/bersih-sokong-akta-kekal-penggal-parlimen)