BERSIH Sambut Baik Perkembangan Pelaksanaan Pemisahan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) YB M. Kulasegaran semalam berhubung garis masa pelaksanaan pemisahan peranan peguam negara (AG) dan pendakwa raya (PP). Menurut beliau, Kerajaan bersedia untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) hujung tahun ini memandangkan draf RUU tersebut kini di peringkat akhir kajian.

Perkembangan ini selari dengan tuntutan BERSIH dan pertubuhan masyarakat sivil sebelum ini supaya kerajaan menetapkan satu garis masa yang lebih jelas untuk pelaksanaan pemisahan peranan AG dan PP. BERSIH juga berharap supaya RUU yang sedang dirangka akan turut melibatkan pandangan dan cadangan daripada pihak pertubuhan masyarakat sivil untuk memperkukuhkan RUU tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, BERSIH turut menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) YB Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara prinsip untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan meminda Akta Rahsia Rasmi 1972.

Perkembangan positif ini turut selari dengan desakan BERSIH agar Laporan Jawatankuasa Penambahbaikan Undang-Undang dan Sistem Pilihan Raya (ERC) dinyahklasifikasikan agar laporan tersebut dapat diakses oleh semua pihak kerana Jawatankuasa telah menjalankan libat urus selama dua tahun yang melibatkan sejumlah dana rakyat, justeru rakyat berhak untuk mengetahui dapatan libat urus tersebut.

BERSIH optimis perkembangan ini dapat membuka jalan untuk memperkasakan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia serta membawa agenda reformasi negara demi kebaikan rakyat.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih