Bersih gesa larang guna sumber kerajaan pada pilihan raya

PETALING JAYA: Larangan penggunaan sumber kerajaan antara penambahbaikan dicadangkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata tindakan itu bagi mengelakkan sebarang pemberian atau balasan bernilai yang boleh dianggap sebagai rasuah pilihan raya.

Mengikut rekod, dua kemenangan PAS pada PRU15 di Kemaman dan Kuala Terengganu selepas Mahkamah Pilihan Raya mendapati wujud unsur rasuah serta sogokan yang mempengaruhi pengundi.

“Pindaan juga perlu dengan menaikkan jumlah denda dan memansuhkan hukuman dibuang daripada senarai pilihan raya jika didapati melakukan, selain mewajibkan keperluan audit penyata belanja.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu diberi kuasa mengenakan kompuan kesalahan di bawah denda RM10,000,” kata gabungan itu pada pelancaran laporan pemerhatian pilihan raya 2023.

Bersih berkata cadangan itu perlu dilaksanakan memandangkan tiada pindaan substantif dilakukan terhadap akta berkenaan sejak tahun 2003 selain mengatasi kelemahan.

Gabungan itu turut mencadangkan kerajaan membuat reformasi terhadap akses undi pos dengan memperluas kategori undi awal kepada pengundi yang berada di luar negeri.

“Misalnya perlunya penyediaan pusat pengundian mega di setiap negeri bagi proses undi awal, dan peti undi turut dibuka dan dikira pada hari pengundian tanpa perlu dihantar pulang ke kawasan masing-masing,” katanya.

Tambahnya, peranan pemerhati juga perlu dianggap setaraf dengan pengambilan petugas pilihan raya yang direkrut dan diberi latihan lebih awal.

“Imbuhan setimpal perlu diberi kepada pemerhati mengambil kira kos pengangkutan ke lokasi-lokasi pemerhatian yang jauh antara satu sama lain, makanan sepanjang tempoh pemerhatian dan keringat tenaga yang disumbangkan,” katanya.

(Pertama kali disiarkan oleh Free Malaysia Today pada 30 Januari 2024: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/30/bersih-gesa-larang-guna-sumber-kerajaan-pada-pilihan-raya/)