Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di KKB Boleh Jadi Satu Kesalahan Pilihan Raya

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor yang akan dianjurkan di Pekan Kuala Kubu Baharu pada 27 April 2024 ini, sejurus selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu (PRK KKB). BERSIH mempersoalkan lokasi dan masa penganjuran rumah terbuka ini kerana majlis ini dianjurkan di kawasan dan ketika pilihan raya sedang berjalan (1).

BERSIH ingin mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor bahawa penganjuran rumah terbuka aidilfitri boleh bercanggah dengan banyak peruntukan di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR). Berdasarkan risalah program tersebut yang kami terima, pelbagai aktiviti sambutan akan diadakan seperti jamuan makan dan pemberian duit raya. Pemberian atau penjamuan makanan semasa tempoh pilihan raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8 (Penjamuan) dan pemberian duit raya adalah kesalahan di bawah Seksyen 10 (Penyogokan).

Selain itu, pihak Kerajaan Negeri Selangor juga perlu sedar bahawa disebabkan penganjuran rumah terbuka ini menggunakan sumber kerajaan negeri, maka mereka perlu memastikan bahawa majlis tersebut tidak digunakan sebagai platform untuk memperkenalkan calon daripada komponen parti kerajaan dan seterusnya berkempen dengan memasang bendera dan kaedah-kaedah kempen yang lain yang bertujuan untuk memenangkan calon mereka.

Penggunaan sumber kerajaan bukan sementara seperti Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan semasa tempoh pilihan raya kecil seperti di PRK KKB ini perlu mematuhi prinsip 3C yang digariskan oleh BERSIH sebelum ini iaitu No Conditions (Tanpa Syarat), No Campaign (Tanpa Kempen) dan No Candidate (Tiada Calon).

BERSIH juga ingin mengingatkan parti-parti politik atau mana-mana calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya ini yang bercadang untuk menganjurkan majlis rumah terbuka peringkat parti atau kapasiti masing-masing supaya tidak berbuat demikian kerana aktiviti tesebut adalah bercanggah dengan AKPR.

BERSIH sekali lagi menegaskan kepada semua pihak yang akan bertanding dalam PRK KKB ini terutamanya pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan agar mematuhi etika kempen pilihan raya supaya pilihan raya di negara kita dapat berjalan dengan bersih dan adil.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH

(1) https://www.facebook.com/share/p/edhy7dApqCHMxf18/?mibextid=WC7FNe