Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) memandang berat isu pelaksanaan agenda reformasi yang masih dilihat perlahan oleh Kerajaan semasa. Bersih menegaskan agenda reformasi harus dipandang serius oleh semua pihak terutamanya Kerajaan Persekutuan.
Kita harus sedar bahawa saat ini Malaysia sedang meniti fasa penting transisi pendemokrasian yang akan menentukan sama ada kita berada di landasan yang tepat menuju pembinaan sebuah masyarakat yang inkusif, demokratik dan adil, atau berpatah ke belakang dengan mengekalkan dasar-dasar yang regresif.
Kegagalan pelaksanaan agenda reformasi akan menatijahkan kelelahan politik yang berpanjangan dalam kalangan rakyat apabila terhakisnya kepercayaan mereka terhadap harapan untuk adanya satu perubahan. Lebih malang lagi, ia akan mengakibatkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap sistem tatakelola yang baik, pelaksanaan pilihan raya yang bersih dan adil serta penguatkuasaan undang-undang yang tegas khususnya dalam melindungi sistem demokrasi berparlimen serta agenda melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Justeru, atas kesedaran tersebut BERSIH akan menganjurkan Kongres Bersih sebagai medan untuk mengumpulkan pertubuhan masyarakat sivil, mahasiswa dan rakyat seluruhnya untuk merangka perancangan dan resolusi ke hadapan sebelum menjelang pilihan raya umum akan datang.
Kongres Bersih ini akan turut menampilkan tokoh-tokoh pemikir dan aktivis masyarakat yang akan berkongsi sumbang saran dalam merangka perencanaan bersama.
Antara tokoh yang diundang termasuk bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Ariff Md Yusof, bekas Pengerusi Bersih Dato Ambiga Sreenevasan, Editor Pengurusan Sinar Harian Dato’ Hussamuddin Yaacob, Presiden ABIM Ahmad Fahmi Samsudin, Ketua Pegawai Operasi (COO) IDEAS Sri Murniati Yusuf, dan lain-lain (speaker TBC )
Kongres Bersih tersebut bakal diadakan pada 25 Mei 2024 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH). Pendaftaran dan makluman terperinci boleh dibuat dengan merujuk ke pautan https://bit.ly/kongres2024.
Bersih mengundang penglibatan semua pihak terutama pertubuhan masyarakat sivil, mahasiswa dan anak muda bagi menjayakan hasrat Kongres ini.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH