Kenyataan Media KPPP (6 Jun 2024): Speaker-speaker Dewan Rakyat dan DUN Perlu Memaklumkan SPR Kekosongan Lima Kerusi bagi Memastikan Undang-Undang Antilompat Berfungsi

Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional (SCPP) menggesa Speaker-speaker Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) serta semua pihak yang terlibat untuk menjunjung Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, dan peruntukan yang serupa dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri, yang lebih dikenali sebagai Undang-Undang Antilompat (UAL).

Apabila Ahli Parlimen (MP) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan atau tidak lagi menjadi ahli parti mereka, kerusi yang disandang perlu dikosongkan seperti yang diperuntukkan oleh UAL.

Pendirian SCPP terhadap kes yang melibatkan tujuh wakil rakyat Bersatu yang menyandang enam kerusi parlimen dan dua kerusi DUN, di mana keanggotaan parti mereka telah dilepaskan, adalah seperti berikut:

1. Selepas kegagalan untuk mematuhi arahan Bersatu pada 17 Mei 2024 bagi menyatakan kesetiaan kepada parti dalam masa 14 hari, kuasa telah diperuntukkan oleh Fasal 10.4 perlembagaan parti itu, bahawa kesemua tujuh wakil rakyat tersebut telah terhenti keahlian daripada Bersatu selepas 31 Mei 2024. Ini adalah akibat automatik daripada tindakan mereka, seperti yang terjadi di dalam hampir semua parti jika gagal membayar yuran keahlian.

2. Pelepasan keahlian oleh Bersatu 7 tidak boleh disalahungkap sebagai pemecatan, yang mempunyai implikasi perlembagaan yang berbeza. Malah, keberkesanan kaedah yang digunakan oleh Bersatu telah digambarkan melalui infografik yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri pada 2022 (https://acrobat.adobe.com/id/urn:aaid:sc:AP:192f40ba-76c5-4001-8acb-eea5030fb9d2). Menariknya, “Slaid 7B, Situasi 3” seolah jadi satu ramalan apabila menggunakan Bersatu sebagai contoh dalam ilustrasi tersebut.

3. Perkara ini juga tidak boleh ditafsirkan secara tidak munasabah sebagai tindakan yang menyebabkan aplikasi ‘retrospektif’ UAL. Pindaan kepada perlembagaan parti Bersatu yang telah memasukkan Fasal 10.4 telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 1 April 2024, lama sebelum arahan Bersatu yang dikeluarkan pada 17 Mei 2024.

4. Bersatu perlu segera memaklumkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkenaan pelepasan keahlian empat MP berikut:

a. Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang);
b. Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar);
c. Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan); dan,
d. Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Bersatu tidak perlu dan tidak harus menunggu sehingga Dewan Rakyat bersidang pada 24 Jun untuk melakukan perkara ini. Pemakluman ini perlu dilakukan secara profesional dan tidak dijadikan aksi politik. Penangguhan maklum kepada Speaker Dewan Rakyat akan mengganggu proses sewajarnya dan persediaan SPR untuk pilihan raya kecil (PRK) yang perlu berlaku.

5. Bersatu juga perlu segera memaklumkan Speaker DUN Selangor YB Lau Weng San berkenaan pelepasan keahlian Datuk Abdul Rashid Asari, ADUN Selat Klang.

6. Disebabkan keempat MP dan ADUN Selangor telah ‘‘dipilih sebagai ahli Perikatan Nasional (PN)’’ melalui keahlian Bersatu, pemberhentian tersebut menyebabkan kerusi mereka dikosongkan dengan penguatkuasaan Perkara 49A(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang serupa di dalam Undang-Undang Tubuh (UUT) Negeri Selangor.

7. Pelepasan keahlian untuk Mohd Azizi Abu Naim (MP Gua Musang dan ADUN Nenggiri, Kelantan) dan Zahari Kechik (MP Jeli) walau bagaimanapun tidak menyebabkan kerusi tersebut dikosongkan kerana mereka telah “dipilih sebagai calon PAS” dan bukan sebagai ahli PN.

8. Namun demikian, kedua-duanya perlu sukarela meletakkan jawatan untuk memboleh PRK diadakan agar pengundi boleh menentukan sama ada mereka akan menyokong wakil rakyat tersebut yang telah berubah haluan. Dengan pemansuhan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang serupa di UUT Negeri Kelantan yang sebelum ini melarang wakil rakyat bertanding semula dalam tempoh lima tahun selepas meletakkan jawatan, kedua-dua wakil rakyat tersebut berpeluang untuk mendapatkan mandat baharu di bawah kesetiaan terbaharu mereka.

9. Tidak ada ungkapan sebenar di dalam Perkara 49A, nota huraian Rang Undang-undang (RUU)nya, laporan JKP atau perbahasan parlimen untuk RUU yang direkodkan di dalam Hansard Parlimen, yang membolehkan pengosongan kerusi untuk wakil rakyat yang meninggalkan atau berhenti menjadi ahli parti selepas dipilih sebagai calon parti yang lain. Hal ini sama bagi UAL di peringkat negeri.

10. Speaker Dewan Rakyat dan DUN Selangor, Tan Sri Johari Abdul dan YB Lau Weng San perlu memaklumkan SPR kekosongan lima kerusi dalam tempoh 21 hari daripada notis oleh Bersatu. Sebarang penangguhan yang disengajakan atau keingkaran kepada peruntukan perlembagaan akan mencemar institusi besar pejabat-perjabat Speaker dan integriti peribadi mereka.

11. Dalam sebarang pertikaian keputusan Speaker, Mahkamah tidak boleh melepaskan fungsinya dan enggan mengadili atas alasan “pemisahan kuasa” yang tidak munasabah. Sekiranya Speaker boleh membuat keputusan dengan wewenang atas isu yang sangat bersifat politik ini, sebagaimana yang dibuktikan dalam pengalaman di Dewan-Dewan Undangan di India, UAL akan diperalatkan secara sangat partisan sebagai senjata yang menikam demokrasi dan bukan sebagai perisai yang melindungi demokrasi.

12. UAL adalah kunci penting bagi reformasi institusi pasca 2018. Sekiranya peruntukan dalam perlembagaan parti Bersatu tidak berkesan untuk menyebabkan kekosongan kerusi apabila lompat parti berlaku secara terselindung, peruntukan yang serupa dalam perlembagaan parti DAP, Amanah dan UMNO juga akan ditimpa nasib yang sama. Tindakan khianat untuk menggagalkan UAL secara terpilih bukan sahaja akan mengundang kembali ketidakstabilan politik seperti semasa 2018-2021, bahkan akan meranapkan keyakinan dan hormat rakyat kepada parti politik, wakil rakyat dan demokrasi pelbagai parti.

13. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang diketuai oleh YB William Leong perlu mengkaji dengan proaktif Perkara 49A untuk menutup jurang yang disebabkan oleh parti politik menamakan bukan ahli sebagai calon pilihan raya, seperti dalam kes Gua Musang, Jeli dan Nenggiri. Sehingga jurang tersebut ditutup, parti perlu mengelakkan amalan sedemikian bagi tidak menghasilkan wakil rakyat yang bebas daripada UAL.

14. Secara asasnya, apa yang Malaysia perlukan bukan UAL untuk sekadar mencegah gejala atau simptom lompat parti, yang sukar untuk mencapai keseimbangan yang bernas antara menyekat wakil rakyat yang khianat dan menghalang kepimpinan parti daripada menjinakkan Parlimen atau DUN sebagai pak turut mereka.

15. Penyelesaian sebenar adalah untuk membina parti-parti yang kukuh dalam erti program and dasar dan tidak hidup bergantung kepada naungan (patronage), justeru lebih berdaya tahan mengatasi gejala lompat parti. Rundingan antara parti perlu dilakukan segera untuk menyegerakan reformasi seperti undang-undang peruntukan pembangunan kawasan (CDF) yang samarata, pemisahan Badan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan mekanisme kepercayaan yang berfungsi.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Sila kunjungi Laman FB kami untuk kenyataan media dan bahan kempen lain: https://www.facebook.com/SC4PP

Disokong oleh:

NGO-NGO:
1. Bait al-Amanah
2. ENGAGE
3. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
4. Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)
5. Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM)
6. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
7. Projek – Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA)

Individu:
1. Dr Lim Chee Han
2. Maha Balakrishnan