Kerajaan Madani Jangan Bertukar Kulit Kepada Apa Yang Mereka Benci Dahulu

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada pengumuman-pengumuman peruntukan baharu yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Pulau Pinang baru-baru ini. Perdana Menteri melalui setiausaha politiknya, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menyampaikan sumbangan bernilai RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau yang berada di kawasan DUN Sungai Bakap pada 11 Jun. Setiap masjid dan surau menerima sebanyak RM10,000 untuk digunakan sempena Hari Raya Korban pada 17 Jun.  Pada hari yang sama, Nga Kor Ming juga telah menyampaikan cek bernilai RM17, 751, 284 untuk projek pembinaan balai bomba, penaiktarafan pasar Bukit Panchor dan sumbangan rumah ibadah bukan Islam.

Pengumuman-pengumuman sebegini sudah menjadi kelaziman baharu kepada Kerajaan Madani apabila menjelang pilihan raya kecil, walhal isu penggunaan sumber kerajaan semasa tempoh pilihan raya acapkali dibantah oleh mereka semasa menjadi pembangkang dahulu.

BERSIH dengan keras menyelar tindakan menggunakan sumber kerajaan semasa pilihan raya, tidak kira sama ada pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum. Umum maklum, selepas pengumuman kekosongan kerusi oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), satu pilihan raya kecil akan diadakan. Maka di sini sepatutnya para menteri, baik diperingkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri sudah patut mengetahui batasan peranan mereka dalam tempoh ini.

BERSIH telah menggariskan larangan 3C semasa pilihan raya iaitu: No Conditions (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon) yang telah digariskan BERSIH sejak Pilihan Raya Negeri 2023 yang lepas kepada kerajaan bukan sementara (non-caretaker government), seperti Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam konteks pilihan raya kecil.

Namun amalan tidak beretika ini masih berterusan daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya. Amalan ini bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang yang sama rata dalam pilihan raya. BERSIH melihat pelanggaran demi pelanggaran terhadap etika pilihan raya bersih dan adil oleh parti Kerajaan Madani sendiri dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, akan terus menghakis keyakinan rakyat khususnya pengundi terhadap sistem pilihan raya dan proses demokrasi di negara ini.

Sekali lagi BERSIH menegaskan supaya diwujudkan sebuah garis panduan yang menyeluruh terkait etika kerajaan bukan sementara dan kerajaan sementara semasa tempoh pilihan raya yang bermula sebaik sahaja pembubaran Parlimen/DUN atau kekosongan kerusi, untuk dikanunkan sebagai undang-undang supaya tidak berlaku salah guna sumber kerajaan dalam sebarang pengumuman peruntukan dan dasar kerajaan yang diamanahkan rakyat.

Kerajaan Madani harus sedar bahawa gula-gula pilihan raya seperti penyampaian peruntukan ini tidak akan menjadikan kerajaan lebih popular, bahkan akan dilihat menggunakan apa sahaja cara, bahkan kaedah yang dulu dikecam sebagai tidak adil, hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap pilihan raya bersih dan adil.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH