Politik Pork-Barrel di Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengecam pengumuman Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kerajaan Madani akan mewujudkan Pusat Warga Emas (PAWE) dan juga membina sekolah tamil di Sungai Bakap sekiranya mereka menang di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Pengumuman menghampiri saat-saat akhir sebelum pengundi di DUN Sungai Bakap membuang undi pada hari Sabtu ini merupakan pengumuman yang tidak bertanggungjawab dan langsung tidak mencerminkan nilai Madani yang ingin dibawa di dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan sekarang.

BERSIH mengecam tindakan mengumumkan projek-projek baharu secara bersyarat seperti yang diumumkan oleh TPM Zahid Hamidi dan menganggap ini adalah satu rasuah pilihan raya. Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya menyatakan tiap-tiap orang yang menjanjikan balasan bernilai secara rasuah kepada pengundi untuk mendorong pengundi tersebut mengundi pihak mereka boleh disabitkan dengan kesalahan penyogokan. Pengumuman ini juga telah melanggar garis panduan 3C bagi kerajaan bukan sementara (non-caretaker government) iaitu sebarang pengumuman sekiranya perlu hendaklah dibuat tanpa syarat (no condition) yang diberikan kepada pengundi di kawasan tersebut.

Berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya dan garis panduan kerajaan bukan sementara yang dikeluarkan oleh BERSIH bagi memastikan pilihan raya berjalan dengan bersih dan adil, jelas bahawa pihak Kerajaan Perpaduan langsung tidak menghormati undang-undang yang ada serta tidak berkempen secara adil. Sebelum ini juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming juga telah menyampaikan cek bernilai RM17, 751, 284 untuk projek pembinaan balai bomba, penaiktarafan pasar Bukit Panchor dan sumbangan rumah ibadah bukan Islam. Malah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Akin juga ada menyampaikan sumbangan kepada masjid-masjid sempena Hari Raya Aidiladha yang bernilai RM290,000. Walaupun kedua-dua pemberian ini berlaku sebelum penamaan calon, namun ianya masih dengan kesedaran bahawa satu pilihan raya akan berlaku di Sungai Bakap.

BERSIH mengingatkan Kerajaan Perpaduan bahawa taktik menurunkan peruntukan dan mengumumkan projek-projek baharu adalah taktik lapuk yang tidak lagi berkesan untuk menggula-gulakan pengundi. Apa yang pengundi mahu adalah keikhlasan melakukan reformasi serta menambahbaik polisi-polisi yang sedia ada untuk manfaat rakyat, dan bukannya bermain politik yang senget dan tidak amanah.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH