Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah bertemu dengan YAB Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen pada hari ini. BERSIH mengambil peluang pertemuan ini bagi menyerahkan memorandum yang memperincikan agenda reformasi yang dicadangkan, terutamanya dalam isu peruntukan pembangunan kawasan (CDF) ahli-ahli Parlimen, keperluan mewujudkan mekanisme pengundian awal untuk pengundi Sarawak dan Sabah yang bekerja atau belajar di Semenanjung (dan sebaliknya), keperluan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang adil, reformasi pelantikan jawatan ahli SPR dan reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya.
BERSIH menghargai keterbukaan pihak Datuk Seri Fadillah Yusof dan kerajaan untuk menerima kunjungan dan saranan pertubuhan masyarakat sivil dalam membawa suara rakyat untuk melaksanakan agenda Reformasi.
BERSIH mengangkat agenda reformasi yang didesak oleh pelbagai kolektif masyarakat sivil dan kebanyakannya adalah daripada manifesto-manifesto yang dijanjikan oleh parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan, seperti pemberian CDF yang adil dan saksama, lantikan institusi-institusi penting negara menerusi Jawatankuasa Parlimen, dan pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Perbincangan dengan YAB Timbalan Perdana Menteri II lebih berfokus kepada isu akses pengundian yang menjadi beban kepada ramai pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja atau belajar di Semenanjung Malaysia (dan pengundi Semenanjung yang bekerja atau belajar di Sarawak dan Sabah). BERSIH telah mengusulkan untuk meluaskan undi awal kepada dua kategori pengundi ini bagi meringankan beban pengundi Sabah dan Sarawak, terutamanya kos tiket kapal terbang yang tinggi, hanya untuk menjalankan hak mereka sebagai pengundi.
BERSIH mencadangkan mekanisme di mana pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja atau belajar di Semenanjung (dan sebaliknya) tidak perlu pulang ke kawasan masing-masing semasa hari pengundian dan mengundi di sebuah pusat pengundian mega yang dibuka di setiap negeri di Semenanjung (atau Sabah dan Sarawak bagi pengundi Semenanjung di sana). Mereka boleh mengundi seperti pengundi awal tiga hari sebelum hari pengundian biasa dan undi mereka hendaklah dikira pada hari pengundian biasa di pusat pengundian undi awal tersebut, tanpa memerlukan undi mereka dipos ke Sabah, Sarawak atau Semenanjung.
Datuk Seri Fadillah Yusof memberi respons yang positif dan menyatakan tuntutan ini selari dengan pertimbangan parti-parti di Sarawak kerana kaedah ini amat memudahkan pengundi. Kami mengalu-alukan respons positif ini dan menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil serius kehendak rakyat, masyarakat sivil dan pembuat dasar supaya segera mempertimbangkan pelaksanaan undi awal sebelum PRN Sabah dan Sarawak pada 2025 dan 2026. Dasar ini dijangka memberi kesan kepada lebih daripada sejuta pekerja dan pelajar Malaysia yang terpaksa berulang-alik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak hanya semata-mata ingin melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi.
Mengenai pemberian CDF, TPM II memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang menyediakan deraf perjanjian yang bakal dibentangkan kepada pembangkang untuk rundingan. Kami menyeru supaya deraf tersebut dapat dimuktamadkan dalam bentuk memorandum persefahaman (MOU) 2.0 antara Kerajaan Persekutuan dan Pembangkang dalam jangka pendek yang merangkum pelaksanaan agenda reformasi, termasuk pengkanunan undang-undang CDF dalam jangka masa panjang. Undang-undang CDF ini perlu supaya pemberian peruntukan tidak lagi bergantung kepada budi bicara Perdana Menteri dan Eksekutif.
Selain itu, TPM menegaskan bahawa kabinet telah bersetuju atas prinsip bagi pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, serta pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya. BERSIH menyatakan pendirian kami agar diwujudkan satu garis jelas masa yang jelas agar reformasi-reformasi ini dapat dilaksanakan sebelum mandat Parlimen ke-15 ini berakhir.
BERSIH menghargai keterbukaan TPM II untuk bertemu dengan pertubuhan masyarakat sivil. Tatkala negara berada dalam transisi demokrasi, sikap keterbukaan ini penting untuk melayani semua pihak termasuk pembangkang dan masyarakat sivil secara adil dan profesional untuk mewujudkan demokrasi yang matang dan maju.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH