Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH) merujuk kepada keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang menyatakan kedudukan enam Ahli Parlimen (MP) Bersatu yang mengingkari arahan parti kekal sebagai anggota Parlimen. Enam MP tersebut adalah MP Bukit Gantang, MP Kuala Kangsar, MP Labuan, MP Tanjong Karang, MP Gua Musang (yang juga merupakan ADUN Nenggiri) dan MP Jeli.
BERSIH menegaskan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah terkhilaf dalam memahami mekanisme Undang-Undang Anti-Lompat (UAL) ini serta telah membelakangkan prinsip dan hasrat penggubalan undang-undang tersebut, yang bakal membuka kepada pintu ketidakstabilan politik selepas ini.
Justeru, situasi ini akan menimbulkan polemik mengenai keberkesanan akta ini terhadap matlamat asal demi menjamin kestabilan politik negara.
Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan menggariskan tiga sebab terhentinya seseorang Ahli Dewan Rakyat, iaitu apabila seseorang Ahli Dewan Rakyat itu menukar parti, melepaskan keanggotaan parti dan beliau tidak lagi menjadi anggota parti tersebut.
Apa yang berlaku kepada sekurang-kurangnya empat daripada enam MP Bersatu (Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Labuan dan Tanjong Karang) adalah mereka telah digugurkan keahlian kerana gagal menuruti arahan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk tidak menyokong Perdana Menteri. Bersatu telah meminda perlembagaan parti mereka yang menetapkan bahawa mana-mana ahli Bersatu yang menjadi wakil rakyat di Dewan Rakyat atau DUN yang tidak mematuhi arahan Majlis Pimpinan Tertinggi akan terhenti keahlian mereka secara serta-merta.
Berdasarkan infografik penerangan daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) berkenaan mekanisme UAL ini, juga jelas menerangkan implikasi akibat tidak mematuhi keputusan parti di dalam salah satu slaid mereka. Slaid infografik tersebut memberikan contoh situasi di mana sekiranya ada tindakan tidak mengikuti keputusan parti berdasarkan perlembagaan parti tersebut, maka ahli-ahli tersebut dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusi mereka.
Perlu diingat bahawa, pindaan perlembagaan parti Bersatu yang dibuat untuk memasukkan peruntukan terhenti keahlian sekiranya gagal menuruti arahan parti juga adalah sama dengan pindaan perlembagaan yang dibuat oleh DAP, AMANAH dan juga UMNO.
Maka, pihak Yang di-Pertua Dewan Rakyat harus menghormati Perlembagaan parti Bersatu dan mana-mana parti politik khususnya dalam menyelaraskan penguatkuasaan Akta ini.
Dalam masa yang sama, penggubalan Akta Anti Lompat Parti [Akta A1663] berserta pindaan Perlembagaan Persekutuan [Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022] juga adalah salah satu tuntutan BERSIH yang disusuli dengan Memorandum Persefahaman antara Kerajaan dan Pembangkang pada 2021 yang menatijahkan sokongan 209 Ahli Parlimen ketika itu.
Justeru, BERSIH berpandangan Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mensia-siakan peluang untuk menguatkuasakan serta memperkasakan Akta ini yang didukung dua pertiga anggota Dewan Rakyat apabila ia kali pertama diuji dalam sejarah politik negara. Apa yang diputuskan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan sekali membuka lompang undang-undang ini dan menghapuskan keyakinan rakyat terhadap keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang menjadi prinsip Rukun Negara.
Keputusan ini juga akan terus menajamkan perbezaan antara Kerajaan dan Pembangkang, menyukarkan kerjasama professional untuk melakukan reformasi, serta membebaskan Parlimen dari keterikatan dengan badan Eksekutif sekaligus memperkukuh persepsi bahawa kerajaan hanya berminat untuk mengekalkan kekuasaan berbanding melaksanakan perkara yang betul.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH