BERSIH Gesa Reformasi Struktur SPRM dan Mekanisme Pelantikan Pesuruhjaya Bagi Memperkukuh Kebebasan dan Akauntabiliti

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah melancarkan sebuah kajian komprehensif Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam acara bersama Rasuah Busters di Karangkraf, Shah Alam semalam.

Bersih berpandangan struktur SPRM yang sedia ada mempunyai banyak kelemahan dan kelompangan, terutama apabila institusi inj diuji sewaktu negara dilanda skandal rasuah terbesar 1MDB, prosedur siasatan yang membawa kepada kematian Teoh Beng Hock pada tahun 2009, dan laporan Lalitha Kunaratnam yang mendedahkan pertalian perniagaan dalam kepimpinan SPRM.

Justeru, 15 tahun selepas kematian mendiang Beng Hock dan rentetan hutang 1MDB yang masih dibayar oleh kerajaan dan rakyat Malaysia, Bersih menegaskan sudah tiba masanya untuk ada inisiatif agenda Reformasi SPRM bagi memastikan kelompangan-kelompangan yang terzahir dapat ditangani.

Rentetan itu, Bersih telah menggagaskan satu kajian komprehensif Reformasi SPRM yang telah disediakan oleh saudara Andrew Yong bagi pihak Bersih, yang melihat SPRM secara meluas dari aspek sejarah badan pencegahan rasuah di Malaysia, kekangan-kekangan yang dihadapi serta cadangan-cadangan reformasi yang diperlukan.

Dalam dokumen tersebut, perkara pokok yang disarankan adalah dengan menubuhkan satu Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (‘SPPR’)/Anti-Corruption Service Commission (ACSC) yang bertanggungjawab dalam melantik Ketua Pesuruhjaya dan Pegawai SPRM. Berkaitan perkara ini, SPPR bertanggungjawab untuk memberikan nama cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam masa sama, prosedur melucutkan Ketua Pesuruhjaya SPRM turut diletakkan di tangan SPPR sekiranya terlibat dalam kes salah laku atau hilang upaya dalam menjalankan tugas. Tempoh Ketua Pesuruhjaya perlu ditetapkan hanya untuk lima tahun.

Bagi mengelakkan kekeliruan antara SPPR dan SPRM, badan pencegahan rasuah SPRM dicadangkan untuk ditukar semula kepada nama asal seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR).

SPPR yang dibentuk perlu mempunyai pengerusi, yang dilantik daripada bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, dan 4-10 ahli yang lainnya yang dilantik oleh YDPA berdasarkan budi bicara baginda tetapi selepas mempertimbangkannya atas nasihat PM, bersama Ketua Pengarah BPR sebagai ahli ex-officio.

Dalam masa sama, SPPR dan BPR ini perlu dipantau oleh satu Jawatankuasa Parlimen dengan lebih berkesan. Bagi tujuan ini, Bersih mencadangkan untuk diwujudkan Jawatankuasa Bersama Parlimen berkenaan Hal Ehwal Rasuah (JBPR) bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang bertanggungjawab menyemak laporan dari SPPR dan BPR.

Lebih utama, JBPR juga bertanggungjawab untuk menyemak dan mengesahkan cadangan lantikan jawatan kanan badan pencegahan rasuah yang dicadangkan oleh SPPR kepada YDPA bersama perbincangan dengan Perdana Menteri. JBPR juga perlu meneliti dan mengesahkan nasihat PM berkenaan lantikan pengerusi dan ahli-ahli SPPR.

JBPR yang ditubuhkan perlu terdiri dari keanggotaan yang mencerminkan komposisi kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Pembangkang. Keanggotaan JBPR juga terdiri dari antara 8-12 anggota yang dilantik oleh YDPA dengan nasihat bersama Presiden Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Bersih menegaskan, menerusi tiga badan penting yang saling memantau antara satu sama lain, iaitu SPPR, JBPR serta BPR sendiri, ia akan melindungi kebebasan BPR dalam menjalankan operasi pencegahan rasuah, serta menjamin akauntabiliti BPR sendiri menerusi tindakan pemantauan yang lebih ketat.

Melihat ke hadapan, Bersih akan meluaskan libat urus dengan pelbagai pihak khususnya pihak Kerajaan bagi menggerakkan pelaksanaan agenda Reformasi SPRM ini sebagai salah satu langkah menambahbaik sistem tatakelola negara serta mengembalikan kepercayaan rakyat kepada usaha Kerajaan memerangi rasuah.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH