Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merujuk kepada tuduhan oleh sebuah parti politik kepada parti dalam gabungan lawan dengan tuduhan “kafir harbi” dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Neggiri.
Bersih menegaskan, menurut Perlembagaan Persekutuan, seluruh warganegara Malaysia tanpa berbilang kaum dan agama mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dan harus dihormati semua pihak.
Justeru, tidak wajar bagi sebarang kelas tertentu melabelkan masyarakat di negara kita yang seolah merendahkan sebahagian warganegara sebagai kelas kedua, apatah lagi dengan gelaran yang boleh membawa permusuhan terhadap sesuatu kaum atau agama.
Bersih juga mengingatkan semua pihak terutama pihak yang bertanding dalam PRK Nenggiri agar bersederhana dalam kempen politik mereka. Malah kempen menggunakan sentimen yang boleh menyebabkan bencana, kerosakan atau kerugian secara kerohanian boleh dianggap satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Pengaruh Tidak Wajar, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Bersih ingin mengingatkan semua pihak untuk berkempen secara matang, bertanggungjawab, bebas dan adil, serta mengutamakan kesejahteraan dan perpaduan kaum di Malaysia.
Bersempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia tidak lama lagi, seluruh pihak harus bersama membawa naratif keharmonian kaum untuk manfaat semua demi Bangsa Malaysia.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih