Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Centre For Independent Journalism (CIJ) telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri, YB Teo Nie Ching di Pejabat Menteri semalam.
Pertemuan yang turut dihadiri pegawai utama dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyentuh isu utama berkaitan cadangan pelesenan platform sosial media dan pesanan internet oleh kerajaan.
Bersih & CIJ nyatakan kebimbangan tentang perkembangan kebebasan media hari ini khususnya melibatkan isu pelesenan ini lebih-lebih lagi apabila agenda reformasi masih perlahan dari pelaksanaan kerajaan Madani.
Namun kita tidak nafikan peranan kerajaan untuk memastikan platform media sosial dan pesanan internet bertanggungjawab dalam sebarang isu yang menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat serta menyalahi prinsip hak asasi manusia.
Maka, kami nyatakan pendirian kami seperti berikut –
1) Kerajaan perlu pastikan pembinaan code of conduct dibuat secara inklusif, telus dan bertepatan dengan prinsip-prinsip kebebasan bersuara berasaskan standard antarabangsa di mana sebarang sekatan bersuara harus memenuhi prinsip legitimacy (pengabsahan), necessity (keperluan) dan proportionality (setimpal).
2) Pastikan badan yang melaksanakan pemantauan kepatuhan code of conduct terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan supaya ada ketulusan dalam sebarang keputusan yang dibuat tanpa campurtangan politik.
3) Pada masa yang sama, segerakan penubuhan Majlis Media atau sebarang platform yang bertindak sebagai kata putus dalam menentukan sesuatu kandungan dalam media sosial itu sama ada baik atau bercanggah dengan code of conduct dan boleh dikenakan tindakan.
4) Sebarang tindakan yang dilakukan tidak harus dibayangi motif politik bagi menekan mana-mana musuh politik sebaliknya fokus kepada isu keselamatan data, buli siber, penipuan dalam talian CSAM (Child Sexual Abuse Materials) dan sebagainya.
5) Pihak kami juga menuntut komitmen kerajaan untuk memansuhkan peruntukan-peruntukan yang bersifat drakonian seperti Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan [Akta 301], Seksyen 211 & 233 Akta Komunikasi dan Multimedia [Akta 588], Seksyen 505 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Akta Hasutan [Akta 15].
Pihak kami merakamkan penghargaan buat YB Menteri dan Kementerian Komunikasi umumnya atas keterbukaan untuk mengadakan pertemuan ini. Kami akan terus bergerak sebagai badan semak dan imbang untuk memastikan kerajaan berada di landasan yang betul dan komited kepada agenda reformasi.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH