Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang YB Dato Seri Hamzah Zainudin dan YB Timbalan Perdana Menteri II (TPM II) Dato Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof berhubung isu Deraf Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen antara Kerajaan Persekutuan dan Ahli Parlimen Pembangkang di Parlimen.
BERSIH berpandangan bahawa deraf MOU yang didedahkan oleh TPM II kelmarin tidak mempunyai item pelaksanaan reformasi yang lebih jelas sebagai parameter penting untuk agenda persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Pembangkang selain daripada pemberian peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang. Pembangkang juga tidak menyatakan cadangan mereka yang lebih konkrit selain kekhuatiran mereka terhadap hak Melayu dan Bumiputera.
Halatuju di dalam MOU di antara Kerajaan Persekutuan dan Pembangkang haruslah lebih jelas objektifnya iaitu untuk memastikan agenda reformasi terlaksana sebagai hasil kesepakatan antara Kerajaan dan Pembangkang agar negara kita dapat bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara demokrasi yang dapat dijadikan contoh di rantau ini.
BERSIH berpandangan bahawa MOU ini dapat ditambahbaik dengan memasukkan pelaksanaan agenda reformasi untuk disepakati bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Pembangkang. BERSIH mencadangkan supaya butiran di dalam MOU yang termeterai antara Kerajaan Persekutuan ketika era pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri dan Pakatan Harapan dijadikan titik mula untuk dilanjutkan pelaksanaannya kerana kebanyakan pimpinan tertinggi BN, PN dan PH berada di dalam perbincangan dan pemeteraian MOU Tranformasi tersebut.
Berikut adalah cadangan BERSIH untuk dijadikan parameter dan kandungan MOU ini:
1. Peruntukan pembangunan kawasan harus dikanunkan dalam undang-undang menerusi penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan – Constituency Development Fund Act (CDF) yang saksama kepada Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang. Ini bagi memastikan hak dan keadilan untuk semua ahli Parlimen dijamin oleh undang-undang.
2. Reformasi SPR dengan memastikan ahli-ahli SPR selepas ini dilantik melalui Jawatankuasa Tetap Parlimen sebelum nama-nama calon tersebut dibawa ke Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik. Hal ini supaya SPR menjadi bebas, adil, diperkasakan dan dipertanggungjawabkan ke Parlimen bagi memastikan pilihan raya bebas dan adil.
3. Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) perlu dipinda bagi memasukkan tatacara dan mekanisme undi tidak percaya dan undi percaya yang lebih jelas dan bermakna dengan memperkenalkan Confirmatory Vote of Confidence (Undi Percaya Pengabsahan) dan Constructive Vote of No-Confidence (Undi Tidak Percaya Berkonstruktif). Selain itu Bersih juga mencadangkan agar PMDR direformasi untuk memperuntukkan Masa Urusan Bukan Kerajaan apabila parlimen bersidang. Ini dapat memperkasa peranan pembangkang di parlimen dengan lebih bermakna.
4. Pengiktirafan Kabinet Bayangan Pembangkang dengan peruntukan yang mencukupi untuk membayangi Menteri dengan akses maklumat yang berpatutan supaya mereka dapat berfungsi dengan berkesan sebagai pembangkang yang konstruktif dan kerajaan menunggu.
5. Reformasi Jabatan Peguam Negara (AGC) dan SPRM untuk menghapuskan kawalan politik oleh Perdana Menteri. Kerajaan Persekutuan perlu menyegerakan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwaraya agar tidak wujud lagi persepsi pendakwaan politik terpilih oleh kerajaan. SPRM perlu direformasi agar pelantikan Pengerusi SPRM dapat dibuat dengan lebih telus dan melibatkan Parlimen.
Kemasukan agenda ini penting untuk memastikan pelaksanaan reformasi berjalan dengan baik demi kebaikan rakyat. BERSIH menggesa agar Kerajaan Persekutuan dan Pembangkang bersikap dengan lebih profesional, telus dan jujur dalam perbincangan kandungan perjanjian persefahaman supaya manfaat daripada kesepakatan tersebut akan dapat dirasai oleh rakyat keseluruhannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Bersih turut menegaskan kepentingan CSO untuk dilibatkan sama dalam rundingan Ahli Parlimen khususnya melibatkan isu kestabilan politik sebagai mewakili suara rakyat.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH