Bersih kemuka 5 syor untuk tambah baik MOU kerajaan-PN

Badan pemantau pilihan raya Bersih mengemukakan lima syor yang perlu dimasukkan dalam memorandum persefahaman (MOU) kerajaan berhubung peruntukan pembangkang.

Dalam kenyataan hari ini, Bersih berkata deraf MOU sedia ada tidak mempunyai agenda yang jelas untuk reformasi sebagai  parameter penting untuk agenda persefahaman antara kerajaan Persekutuan dan pembangkang.

“Hala tuju di dalam MOU di antara kerajaan persekutuan dan pembangkang haruslah lebih jelas objektifnya iaitu untuk memastikan agenda reformasi terlaksana sebagai hasil kesepakatan antara kerajaan dan pembangkang.

“Ia agar negara kita dapat bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara demokrasi yang dapat dijadikan contoh di rantau ini.

“BERSIH berpandangan bMOU ini dapat ditambah baik dengan memasukkan pelaksanaan agenda reformasi untuk disepakati bersama di antara kerajaan persekutuan dan pembangkang,” katanya.

Berikut lima cadangan dikemukakan Bersih:

1- Peruntukan pembangunan kawasan harus dikanunkan dalam undang-undang: menerusi penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan yang saksama kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ini bagi memastikan hak dan keadilan untuk semua ahli Parlimen dijamin oleh undang-undang.

2- Reformasi SPR dengan memastikan ahli-ahli SPR selepas ini dilantik melalui Jawatankuasa Tetap Parlimen: sebelum nama-nama calon tersebut dibawa ke Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik.

Hal ini supaya SPR menjadi bebas, adil, diperkasakan dan dipertanggungjawabkan ke Parlimen bagi memastikan pilihan raya bebas dan adil.

3- Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) perlu dipinda bagi memasukkan tata cara dan mekanisme undi tidak percaya dan undi percaya yang lebih jelas dan bermakna.

Selain itu, Bersih juga mencadangkan agar PMDR direformasi untuk memperuntukkan “masa urusan bukan kerajaan” apabila Parlimen bersidang, bagi memperkasa peranan pembangkang di Parlimen dengan lebih bermakna.

4- Pengiktirafan kabinet bayangan pembangkang dengan peruntukan yang mencukupi: untuk membayangi menteri dengan akses maklumat yang berpatutan supaya mereka dapat berfungsi dengan berkesan sebagai pembangkang yang konstruktif dan kerajaan menunggu.

5- Reformasi Jabatan Peguam Negara (AGC) dan SPRM untuk menghapuskan kawalan politik oleh perdana menteri.

Kerajaan Persekutuan perlu menyegerakan pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya agar tidak wujud lagi persepsi pendakwaan politik terpilih oleh kerajaan.

SPRM perlu direformasi agar pelantikan Pengerusi SPRM dapat dibuat dengan lebih telus dan melibatkan Parlimen.

Hamzah Zainudin

Pada 15 Sept lepas, ketua pembangkang Hamzah Zainuddin memaklumkan mereka sebulat suara menolak deraf MOU kerajaan dengan membangkitkan empat kebimbangan, antaranya kemungkinan ia boleh memberi kesan kepada hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri II Fadillah Yusof mendedahkan kandungan MOU itu dan menyifatkan kebimbangan Hamzah sebagai tidak berasas.

Sementara itu, Bersih juga mencadangkan agar MOU yang ditandatangani semasa pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dijadikan titik permulaan untuk pelaksanaan selanjutnya, memandangkan ramai pemimpin BN, PN, dan PH terlibat dalam rundingan MOU itu.

Pada masa sama, Bersih turut mengkritik pembangkang kerana dilihat gagal mengemukakan sebarang cadangan penting selain kebimbangan terhadap isu Melayu dan bumiputera.

“Kami menggesa kedua-dua kerajaan dan pembangkang untuk melibatkan diri secara profesional, telus dan jujur ​​apabila membincangkan kandungan MOU supaya orang ramai dapat merasai manfaat ketara daripada perjanjian itu,” katanya lagi.

(Pertama kali diterbitkan oleh Malaysiakini pada 17 September 2024: https://m.malaysiakini.com/news/719556)