Tuntutan 1/3 Kerusi Parlimen Sabah Sarawak: BERSIH Usul Dialog Nasional dan Debat Terbuka

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa supaya sebuah dialog nasional dan debat terbuka diadakan bagi isu tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah.

Gesaan ini susuli jelajah “Road to Reform (R2R)” yang diadakan oleh BERSIH di Sarawak yang menyantuni hampir 150 peserta daripada lebih 20 pertubuhan masyarakat sivil dan parti politik Sarawak. Di dalam jelajah R2R Sarawak di Kuching, tiga program iaitu bengkel pemerkasaan anak muda, bengkel persempadanan semula, dan forum awam bertajuk “Veto Power for East Malaysia: Dewan Rakyat or Dewan Negara” yang menampilkan YB Dato’ Idris Buang, Timbalan Speaker Dewan Undangan Sarawak, YB Robert Lau, Ahli Dewan Negara, Ann Teo, Pengasas Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE), Faisal Abdul Aziz, Pengerusi BERSIH dan Saudara Jordan Soo, Pegawai Khas kepada YB Chong Chieng Jen (Pengerusi DAP Sarawak) telah diadakan.

BERSIH turut bertemu Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, YB Dato’ Sharifah Hasidah, untuk menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Sarawak berkaitan isu tuntutan satu pertiga Parlimen dan isu pilihan raya. Antara cadangan yang dibincangkan adalah memudahkan pengundian kepada pengundi Sarawak yang bekerja dan belajar di Semenanjung dengan cara memberikan hak undi awal atau undi pos kepada mereka. Cadangan kedua adalah untuk memperbetulkan pembahagian yang tidak sekata (malapportionment) bagi kawasan-kawasan pilihan raya kerana Sarawak adalah negeri kedua yang mempunyai kadar malapportionment terburuk di Malaysia selepas Selangor.

Mengambil kira respons yang amat aktif dan memberangsangkan tentang isu-isu ini, BERSIH menyeru supaya sebuah dialog nasional yang melibatkan semua pemegang taruh diadakan untuk berbincang  peruntukan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tentang peratusan kerusi untuk Sabah dan Sarawak bagi menjamin hak atau kuasa veto kepada pindaan-pindaan perlembagaan yang boleh menghakis hak Sabah dan Sarawak.

Bagi memulakan dialog tersebut, BERSIH mengusulkan agar satu debat terbuka diadakan antara dua intelektual terkemuka yang mewakili dua sudut pandang yang berbeza, iaitu Profesor Wong Chin Huat dan Profesor James Chin. Kedua-duanya mempunyai pandangan yang berseberangan tetapi berkongsi matlamat yang sama untuk mengangkat hak Sabah dan Sarawak seperti yang disemangati di dalam MA63, maka debat terbuka boleh diadakan di tempat dan hos yang neutral bagi membincangkan isu tuntutan  satu pertiga kerusi di Parlimen bagi wilayah Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan kuasa veto.

Dialog dan perbahasan ini perlu dilakukan secara jujur, telus, terbuka dan tidak berpaksikan sentimen yang berlebihan serta melabelkan pihak yang berbeza pendapat sebagai anti atau pro kepada wilayah tertentu di Malaysia kerana ini adalah isu nasional yang melibatkan kepentingan federalisme Malaysia, nilai dan nisbah pengundi, dan semua warganegara.

Dialog ini harus diadakan secara berterusan dengan melibatkan semua pihak yang berkepentingan, pakar-pakar perlembagaan, pakar undang-undang antarabangsa, ahli politik, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat secara umum. BERSIH bersedia untuk menjadi penggerak kepada dialog nasional ini.

BERSIH mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang sudi menyertai jelajah R2R dan berkongsi pandangan-pandangan yang sangat bernas tentang isu perwakilan Sabah dan Sarawak, isu  reformasi pilihan raya dan reformasi institusi di wilayah Bumi Kenyalang.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH