BERSIH Sambut Baik Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib Perlu Terus Jalanan Hukuman Di Penjara

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun proses perundangan  belum selesai, keputusan ini secara tidak langsung telah membuktikan sekali lagi kewujudan kes salah laku melibatkan dana 1MDB yang telah merompak dana awam dan Kerajaan Malaysia yang seharusnya digunakan untuk pembangunan negara, tetapi kini kita masih dipaksa membayar hutang 1MDB.

Dalam masa sama, hal ini menandakan kes penyelewangan melibatkan Najib akan melalui tempoh yang panjang selain tuduhan lain melibatkan dakwaan penggubahan wang haram.

Justeru, Bersih menegaskan bekas Perdana Menteri itu harus terus menjalani hukuman penjara melibatkan sabitan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd lalu oleh Mahkamah Persekutuan tanpa sebarang usaha kompromi untuk dibebaskan seperti tahanan rumah dan sebagainya.

Sebarang usaha kompromi yang cuba diberikan oleh mana-mana pihak dilihat akan menjelaskan ketempangan dalam sistem keadilan negara apabila terzahir kewujudan perbezaan dua darjat antara sesama warga. Sebarang usaha pembebasan akan menidakkan peranan hakim dan institusi awam yang telah menjalankan amanah mereka dalam mengadili bekas perdana menteri itu melalui proses perundangan. Usaha ini harus dinoktahkan dengan keputusan hakim hari ini.

Bersih juga ingin terus mengingatkan semua, terutamanya Pakatan Harapan yang menerajui Kerajaan Perpaduan bahawa penyelewengan dana SRC International dan 1MDB adalah merupakan kesan kegagalan sistem dan institusi penguatkuasaan undang-undang kita pada masa lalu, namun belum ada sebarang pelaksanaan reformasi institusi yang meluas bagi memperbetulkan keadaan tersebut. Reformasi institusi seperti pelantikan ketua SPRM dan pemisahan peguam negara dan pendakwa raya perlu disegerakan untuk mencegah 1MDB 2.0.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH