- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk tindakan Kerajaan PH Negeri Selangor mengekang peruntukan RM30,000 Covid-19 daripada 9 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) (https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/03/23/opposition-reps-in-selangor-excluded-from-special-allocations). Ini terjadi hanya beberapa hari selepas Kerajaan Persekutuan PN menarikbalik peruntukan kawasan kepada ahli parlimen PH, yang sama kejijikannya dan turut dikutuk Bersih 2.0. (https://www.bersih.org/press-statement-21-march-2020-stop-all-constituency-funding-discrimination-against-opposition-representatives-at-federal-and-state-levels/)
- Bersih 2.0 mengulangi seruan yang sama kepada semua gabungan/parti yang menerajui kerajaan – PN di peringkat persekutuan dan 3 negeri, PH di 4 negeri, BN di 2 negeri, PAS di 2 negeri, GPS di Sarawak dan Warisan-PH di Sabah – untuk membuang amalan mendiskriminasi pembangkang dalam peruntukan kawasan dan menggunakan dana awam untuk memancing sokongan kepartian.
- Amalan yang keji, tidak beretika dan tidak bermaruah ini bukan sahaja pengkhianatan kepada pengundi malah juga sikap mabuk kuasa yang berterusan daripada warisan mentaliti “kerajaan-adalah-parti” BN, di mana politikus daripada parti kerajaan membelanjakan dana awam seperti harta parti sendiri.
- Bersih 2.0 sedia maklum dengan kepincangan amalan dana pembangunan kawasan (DPK atau constituency development fund) (https://www.internationalbudget.org/publications/brief10/) dan akar penyebab permintaan terhadapnya.
- Pengundi Malaysia mengharapkan wakil rakyat akan membantu mereka dengan tajaan wang untuk projek infrastruktur kecil-kecilan atau aktiviti sosial, sama ada menggunakan dana kerajaan atau duit mereka sendiri. Kerana pengagihan dibuat atas budi bicara wakil rakyat, DPK menjadi penyelesaian sistemik kepada orang tempatan untuk memintas halangan birokrasi berlebihan dan mendapat sokongan kewangan, terutamanya apabila pihak berkuasa tempatan di Malaysia tidak lagi dipilih sejak 1965 dan biasanya tidak peka dengan keperluan penduduk.
- Walaubagaimanapun, bantuan wakil rakyat di kawasan ada dua kepincangan yang jelas. Pertama, apabila dana awam digunakan, ianya terdedah kepada salah guna, pembaziran dan korupsi. Kedua, sama ada sumbernya awam atau swasta, ianya akan mengukuhkan hubungan patron-klien (penaung dan anak buah) antara wakil rakyat dan pengundi.
- Sehingga alternatif yang lebih baik dijumpai, Bersih 2.0 menggesa pengurusan DPK untuk dijadikan sebahagian daripada tugas wakil rakyat secara formal berserta dengan garis panduan, pemantauan dan audit yang teliti untuk mencegah salah guna, pembaziran dan korupsi. Ini akan membolehkan pengundi meminta bantuan dana tanpa ada perasaan terhutang budi kepada wakil rakyat.
- Melalui Setiausaha Politik Borhan Aman Shah, MB Selangor Amirudin Shari cuba untuk memberi justifikasi amalan diskriminatif mereka dengan mengatakan sebagaimana amalan biasa dalam DPK, peruntukan khas Covid-19 ini akan diberikan kepada semua kawasan tetapi peruntukan kepada kawasan pembangkang akan diuruskan oleh Penyelaras DUN yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.
- Dalil yang tak masuk akal itu tidak lain tidak bukan satu pengakuan kepada angkara untuk melembagakan klientelisme, memaksa pengundi menjadi klien (anak buah) kepada politikus. Apabila dana kerajaan untuk kawasan pembangkang diuruskan oleh ejen kerajaan yang tak dipilih, ianya secara terbuka memaksa pengundi terutamanya mereka yang memilih pembangkang untuk memohon bantuan daripada dan terhutang budi kepada parti kerajaan pula.
- Bersih 2.0 menggesa pemimpin utama PH, Anwar Ibrahim untuk melaksanakan “Janji 16 Buku Harapan: Mengembalikan Wibawa Parlimen” di peringkat negeri. Janji itu antara lain menyatakan “Pembiayaan berdasarkan formula yang telus akan diberikan kepada semua ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dan mengurus pusat khidmat masing-masing.”
- Gesaan ini harus disokong oleh Amirudin Shari, Chow Kon Yeow, Aminuddin Harun dan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi empat negeri yang diperintah oleh PH, juga oleh Syed Saddiq (https://www.malaysiakini.com/news/515750) dan ahli parlimen PH yang lain yang mengadu kerajaan PN menarikbalik peruntukan mereka. Bersih 2.0 sedia untuk berjumpa dengan kepimpinan PH, di peringkat negeri atau persekutuan, bagi membantu reformasi CDF.
- Bersih 2.0 juga menyeru ketua pembangkang negeri Selangor Rizam Ismail (UMNO) dan lapan orang lagi ADUN pembangkang untuk menggesa Kerajaan Persekutuan serta tujuh kerajaan negeri di Semenanjung yang di bawah pemerintahan parti mereka untuk menunjukkan kepimpinan melalui teladan dengan melayan pembangkang secara bermaruah dalam pengurusan DPK. Sekiranya amalan yang sama boleh diterima selagi pelakunya parti mereka, mengomel berkenaan diskriminasi Selangor akan hanya menunjukkan wajah hipokrit yang tidak tahu rasa malu.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0