Kenyataan Media(14 Disember 2020): BERSIH 2.0 Sambut Baik Persetujuan Kerajaan Negeri Perlis Memberi Peruntukan Pembangunan Kawasan kepada ADUN Pembangkang

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) memuji Menteri Besar Perlis yang menyatakan kerajaan Perlis tidak akan meminggirkan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-ADUN) Pembangkang dan akan menyalurkan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada mereka juga. CDF adalah polisi yang amat penting untuk wakil rakyat menguruskan jurang infrastruktur yang kecil, pembangunan masyarakat dan memberi sokongan kebajikan kepada penduduk di kawasan mereka.

Biasanya, CDF diperuntukan secara tidak adil kepada ADUN/Ahli Parlimen Kerajaan manakala ADUN/Ahli Parlimen Pembangkang akan dipinggirkan. Hal ini juga tidak adil kepada rakyat di kawasan pembangkang kerana kerajaan dan ADUN seharusnya berkhidmat kepada rakyat tanpa berat sebelah serta isu sosial dan pembangunan juga tidak mendiskriminasikan orang berdasarkan kepada sokongan parti.

Bagi merumuskan polisi CDF, BERSIH 2.0 ingin memberikan cadangan kepada kerajaan Perlis untuk memberi peruntukan ini secara saksama kepada semua ADUN. Sekiranya jumlahnya berbeza, ia perlu ada justifikasi yang seimbang serta harus berdasarkan keperluan kawasan dan bukannya kecenderungan parti.

Bersih 2.0 juga menyeru kerajaan Perlis untuk memastikan langkah-langkah berikut ke dalam polisi CDF:

  1. Supaya lebih telus dan berakauntabiliti, wajib ada pelaporan yang jelas berkenaan bagaimana peruntukan tersebut dibelanjakan dan perkhidmatan atau kontraktor manakah yang diberikan dana untuk tujuan ini. Nama dan garis masa projek juga perlu dilaporkan dan laporan itu harus tersedia untuk diperiksa oleh rakyat.
  2. Projek-projek ini tidak harus ditentukan oleh ADUN secara bersendirian. “Belanjawan berperwakilan” perlu diperkenalkan untuk sekurang-sekurangnya 50% daripada CDF untuk semua ADUN.
  3. Sekiranya peruntukan ini disalahgunakan, hukuman perlu diwujudkan bagi menangani isu ini untuk memastikan kebertanggunjawaban. Dengan pelaporan yang culas dan kurangnya pemantauan, risiko yang sangat besar mungkin wujud untuk peruntukan ini disalurkan kepada projek yang tidak perlu atau projek yang hanya memberi manfaat sementara sahaja.


Untuk jangka masa yang panjang, BERSIH 2.0 menggesa agar semua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk melembagakan polisi CDF mereka bagi memastikan layanan yang adil kepada semua ADUN dan Ahli Parlimen serta mencegah penyalahgunaan dana awam oleh parti pemerintah dan wakil rakyatnya untuk menanam rasa “terhutang budi” dan budaya “budi dibalas undi” dalam kalangan rakyat yang menerima bantuan.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0