Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sekali lagi mengisytiharkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 tentang berita tidak benar yang amat kontroversi tanpa melalui sidang parlimen untuk perbahasan dan kelulusan.
Tindakan tersebut langsung tidak demokratik, tidak telus dan tidak berakauntabiliti, terutamanya Ordinan tersebut akan mempunyai kesan negatif yang amat besar kepada hak bersuara rakyat.
Kami menggesa kerajaan untuk menarik balik Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang dikatakan untuk mengekang penyebaran berita tidak benar mengenai Covid-19 dan proklamasi darurat.
Apa yang amat membimbangkan adalah definisi “berita tidak benar” sebagaimana yang dinyatakan dalam Ordinan ini adalah amat luas dan kabur. Mengikut Ordinan tersebut, sesiapa sahaja yang dengan apa-apa cara dan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan mengadakan, menawar, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar atau penerbitan tidak benar boleh dikenakan tindakan. Ini secara langsung memberi kuasa yang amat besar kepada kerajaan untuk menentukan samada suatu tindakan telah “menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang ramai.”
Ordinan ini juga membenarkan apa-apa pernyataan seseorang tertuduh samada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa boleh diterima sebagai keterangan. Kami khuatir ini mungkin akan mengalakkan keterangan tertuduh dibuat secara paksa dan sekaligus menafikan hak untuk perbicaraan yang adil.
Hukuman yang bakal dikenakan kepada pihak yang melanggar undang-undang ini adalah sangat melampau, iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesan daripada penguatkuasaan Ordinan adalah pandangan rakyat akan dibungkam kerana rakyat menjadi semakin takut untuk memberi pandangan apa-apa arahan, polisi dan tindakan kerajaan berkenaan Covid-19 dan proklamasi darurat, walaupun pandangan itu bernas, kerana dikhuatiri akan dituduh menggambarkan sesuatu yang boleh “menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang awam”.
Bersih 2.0 mendesak kerajaan kembalikan proses demokrasi dan membenarkan parlimen bersidang semula dengan segera sebagai platform terbaik bagi wakil-wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk memberi pandangan dan membahaskan sebarang undang-undang yang dicadangkan oleh kerajaan sebelum pelaksanaan, termasuk mekanisme paling berkesan untuk menangani kesan Covid-19 dan kaedah-kaedah pemulihan ekonomi. Pentadbiran dan masa depan negara ini tidak boleh ditentukan oleh segelintir elit politik sahaja di dalam kabinet kerajaan.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0