BERSIH menyeru semua pihak mempertimbangkan perkongsian kuasa melalui parlimen sebagai jalan untuk menyelesaikan kebuntuan pembentukan kerajaan sekarang, berbanding penyelesaian Kerajaan Perpaduan seperti yang dicadangkan.
Kerajaan Perpaduan, atau lebih tepat Kerajaan Gabungan Besar, akan merangkumi semua parti utama iaitu PH, PN dan parti Borneo.
Walaupun ianya inklusif, ia mempunyai tiga kelemahan yang wujud.
Pertama, pentadbiran akan dibebankan dengan memasuki wakil dari semua pihak. Hal ini akan mengecewakan rakyat Malaysia yang inginkan pentadbiran yang lebih tipis tanpa ahli politik yang kurang cekap menerima gaji besar.
Kedua, semak dan imbang di Parlimen berkurangan apabila hampir semua ahli parlimen menjadi penyokong kerajaan dengan tiadanya atau kurangnya ahli parlimen pembangkang.
Ketiga, berikutan perpecahan yang mendalam, Kerajaan Gabungan Besar itu mungkin tidak mempunyai keselarian untuk mencapai matlamat yang jelas. Berbanding bekerjasama, terdapat risiko di mana parti kerajaan dan menteri yang saling bercanggahan atau mengkritik satu sama lain, seperti yang kita lihat dalam 32 bulan selepas Langkah Sheraton.
BERSIH mencadangkan penyusunan perkongsian kuasa yang pelbagai guna untuk memenuhi matlamat perwakilan, persaingan dan akauntabiliti.
Cadangan kami adalah seperti di bawah:
– Sama ada PH atau PN akan membentuk kerajaan manakala satu lagi akan mengetuai kabinet bayangan dengan gaji, sumber dan akses maklumat yang setimpal untuk menteri-menteri bayangannya
– Blok dan parti yang lebih kecil mempunyai tiga pilihan:
- Menjadi rakan kongsi muda dalam Kerajaan Campuran Besar
- Menjadi Pembangkang yang menyokong kerajaan atas dasar Perjanjian Perbekalan dan Persetujuan (CSA).
- Menjadi pembangkang sepenuhnya
– Gabungan – PH atau PN – yang boleh mengumpulkan majoriti dengan mendapatkan BN atau parti Borneo sebagai rakan kongsi muda atau rakan CSA akan membentuk kerajaan.
– Tidak kira sama ada ia adalah kerajaan gabungan majoriti atau kerajaan minoriti yang disokong oleh CSA, kerajaan sedemikian memenuhi keperluan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan
– Keseluruhan barisan hadapan kerajaan tidak boleh melebihi 25% Dewan Rakyat iaitu 55 menteri dan timbalan menteri keseluruhannya dan maksimum 27 kementerian.
– Setiap kementerian akan diteliti oleh seorang menteri bayangan yang akan dibayar separuh daripada gaji menteri dan disediakan kakitangan polisi tetapi tiada faedah lain.
– Bagi setiap kementerian, juga akan ada Jawatankuasa Pilihan Parlimen, diisi oleh kedua-dua penyokong kerajaan dan pembangkang, dengan kakitangan polisinya sendiri
– Pengerusi dan timbalan pengerusi setiap Jawatankuasa Pilihan Parlimen akan dibayar sebahagian kecil daripada gaji menteri, tetapi kurang daripada yang diterima oleh menteri bayangan.
– Setiap Ahli Parlimen, kecuali Speaker, Timbalan Speaker, Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Bayangan akan duduk dalam sekurang-kurangnya satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen
– Secara keseluruhannya, sekurang-kurang lima orang Ahli Parlimen akan ditugaskan untuk menjaga setiap kementerian: menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran, menteri bayangan di bangku hadapan Pembangkang, dan pengerusi dan timbalan pengerusi yang duduk dalam Jawatankuasa Parlimen
– Jika kerajaan mempunyai sehingga 27 kementerian, maka 135 orang Ahli Parlimen akan terlibat, tetapi mereka akan ditempatkan untuk memeriksa satu sama lain: 54 dalam kerajaan, 27 dalam kabinet bayangan, dan 54 dalam jawatankuasa parlimen berbilang parti.
Kami menggesa semua pihak termasuk Majlis Raja-raja, parti politik, ahli akademik, kumpulan masyarakat sivil dan, sektor perniagaan dan profesional untuk mempertimbangkan cadangan ini dan bukannya Kerajaan Gabungan Besar yang mungkin membawa akibat yang tidak diingini.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH