Kenyataan Media (10 Disember 2018): Pengumuman PM tidak wajar- Rujuk semua pihak berkepentingan sebelum memberi keputusan berkenaan pilihanraya kerajaan tempatan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) kecewa dengan pengumuman Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa tidak akan ada pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan. Pengumuman tersebut kelihatan tidak mendapat nasihat yang sewajarnya dan adalah satu langkah kebelakang untuk proses pendemokrasian yang lebih luas dalam negara.

Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya menggalakkan perbincangan dan perbahasan tentang keperluan untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan. Lebih penting lagi, mereka seharusnya membuat konsultasi dengan pelbagai pemegang taruh sebagai satu proses demokrasi sebelum membuat sebarang keputusan ataupun pengumuman rasmi.

Tanpa kajian yang menyeluruh kebimbangan PM berkenaan konflik perkauman dan melebarkan jurang bandar-luar bandar adalah satu spekulasi. Bahkan, kita tidak menyaksikan sebarang konflik perkauman dengan perubahan kerajaan negeri sejak 2008, kerajaan persekutuan pada tahun ini, bahkan semasa himpunan Bersih dan Anti-ICERD baru-baru ini. Kerajaan PH harus mengiktiraf bahawa rakyat Malaysia adalah rasional dan tidak berorientasi keganasan.

Suatu perkara yang tidak benar sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan, bahawa ianya akan didominasi oleh kaum bukan Melayu kerana demografi di kawasan bandar telah berubah dengan ketara semenjak tahun 1960an. Sebagai contoh, berdasarkan data 2010, populasi bangsa Melayu di Kuala Lumpur adalah 49.5% dan populasi bangsa Cina hanya 43.2%. Tidak timbul juga persoalan di atas untuk kerajaan tempatan di kawasan luar bandar di Semenanjung kerana Melayu adalah kaum yang majoriti.

Tambahan pula, kebimbangan berlakunya perselisihan antara kaum, dapat ditangani secara berhemah dengan meneroka rekabentuk sistem pilihan raya yang berbeza seperti sistem perwakilan berkadaran berbanding sistem pemenang kerusi terbanyak(First-Past-The-Post) yang sedia ada.

Pilihan raya kerajaan tempatan adalah hak setiap pembayar cukai untuk menentukan siapa akan mengurus dan bagaimana majlis tempatan mereka diuruskan. Amalan sekarang dimana ahli majlis dilantik oleh parti pemerintah adalah tidak dapat diterima kerana lantikan bukan berdasarkan merit dan keupayaan dan tidak semestinya dibertanggungjawabkan kepada masyarakat yang sepatutnya mereka memberi khidmat.

Tambahan lagi, lantikan politik akan mengukuhkan serta mengabadikan budaya politik naungan yang akan membiakkan rasuah dan salah guna kuasa di seluruh negara. Ini adalah legasi yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu dan kerajaan Pakatan Harapan sewajarnya mengambil peluang ini untuk keluar dari budaya korup ini.

Walaupun kami maklum bahawa pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan bukan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan, ianya adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Rakyat pada PRU12. Seharusnya ia diberikan satu pertimbangan semula dan bukannya terus dinafikan sewenang-wenangnya dalam satu ucapan.

Kami percaya bahawa pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan akan mentransformasikan pengurusan majlis tempatan kita, menyatupadukan pelbagai etnik dengan isu setempat yang memberi kesan terhadap perjalanan hidup seharian, membuka peluang pemimpin baru untuk tampil dan menukar lanskap politik negara untuk masa depan yang lebih baik.

Maka, kami sekali lagi menggesa agar Perdana Menteri terus berfikiran terbuka untuk pilihan raya kerajaan tempatan dan membenarkan pelbagai pemegang taruh yang berbeza membincangan, membahaskan dan mencari penyelesaian yang terbaik. Ini akan memberi laluan kepada masyarakat dan pembayar cukai untuk terlibat dalam perlaksanaan majlis tempatan serta memastikan kebertanggungjawaban ahli majlis dan datuk bandar untuk perkhidmatan mereka.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

(foto kredit: Malaysiakini)